KUALA LUMPUR: Wanita yang melecur 90 peratus tubuhnya selepas dipercayai dibakar teman lelakinya dalam pertengkaran di rumah mangsa di Taman Segar, Cheras di sini, Jumaat lalu, meninggal dunia, tengah hari semalam.

Mangsa berusia 23 tahun yang cedera teruk dan melecur seluruh badan selepas disimbah petrol sebelum dibakar, meninggal dunia jam 12.50 tengah hari semalam, empat hari selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, mengesahkan kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Sebelum ini kita siasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Namun, berikutan kematian mangsa, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302.

“Berdasarkan siasatan polis, kejadian itu bukan berlaku secara tidak sengaja, tetapi suspek mempunyai niat (membakar mangsa),” katanya, semalam.

Khairi berkata, teman lelaki mangsa berusia 35 tahun yang turut melecur di tangan dalam kejadian itu direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dikatakan disimbah petrol sebelum dibakar oleh teman lelakinya selepas mereka bertengkar dipercayai berpunca masalah cinta menyebabkan wanita terbabit melecur 90 peratus bahagian badan.
Mangsa dikejarkan ke HUKM untuk rawatan oleh jirannya yang terdengar wanita itu menjerit meminta tolong.