Maut kena tembak dari jarak dekat

Maut kena tembak dari jarak dekat

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi | bhnews@bharian.com.my
2013/03/06

Parit Buntar: Seorang lelaki maut manakala seorang parah selepas ditembak dari jarak dekat oleh lelaki tidak dikenali di pekan Tanjung Piandang, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pemandu Wong Kuan Khuan, 37, meninggal dunia ketika dibawa ke sebuah klinik berhampiran tempat kejadian manakala rakannya berusia 30-an menerima rawatan di Hospital Parit Buntar.

Penumpang tak cedera

Sementara itu, seorang lagi penumpang kereta itu, seorang wanita yang berada di tempat duduk belakang tidak dicederakan.

Jurucakap polis berkata, keterangan saksi di tempat kejadian melihat kereta dipandu mangsa dihalang oleh sebuah kenderaan lain sebelum dua lelaki meluru keluar dan mengetuk cermin pintu sambil mengarahkan mangsa dan dua lagi rakannya keluar.

Namun, mangsa enggan berbuat demikian menyebabkan seorang daripada suspek marah sebelum mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pemandu.

Katanya, seorang daripada suspek kemudian memanjat kenderaan mangsa dan memijak cermin depan kereta itu sebelum melarikan diri ke arah Parit Buntar.

Penduduk bantu mangsa

“Beberapa penduduk yang bergegas ke kereta itu kemudian melihat dua orang berlumuran darah dan seorang wanita di tempat duduk belakang tidak cedera tetapi menangis ketakutan.

“Mangsa yang parah dibawa ke klinik berhampiran dengan menaiki sebuah motosikal roda tiga oleh penduduk manakala wanita itu bertindak memandu kenderaan itu membawa seorang lagi mangsa ke klinik kesihatan sama,” katanya.