ZAKARIA (dua dari kiri) melihat keadaan mayat yang ditemui di dalam parit di Jalan Padang Meha-Batu Puteh, Sungai Karangan dekat Kulim, kelmarin. ZAKARIA (dua dari kiri) melihat keadaan mayat yang ditemui di dalam parit di Jalan Padang Meha-Batu Puteh, Sungai Karangan dekat Kulim, kelmarin.
Wanita dibunuh kejam sebelum dibakar

KULIM: Polis menemui mayat dipercayai seorang wanita yang dibunuh kejam sebelum dibakar dalam parit di kawasan belukar berdekatan Jalan Padang Meha-Batu Puteh, Sungai Karangan dekat sini, malam kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner, Zakaria Ahmad berkata, mayat wanita itu ditemui dalam keadaan masih terbakar oleh penduduk yang masuk ke dalam belukar itu untuk memikat burung kira-kira jam 10 malam.

“Mayat wanita yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui oleh orang awam yang kebetulan datang ke kawasan terbabit untuk memikat burung selepas melihat objek terbakar di dalam parit di tepi Jalan Padang Meha-Batu Puteh.

“Terkejut dengan penemuan itu dua lelaki terbabit terus ke Balai Polis Sungai Karangan di sini, untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Katanya, ketika polis tiba di lokasi kejadian mayat wanita itu masih lagi dalam keadaan terbakar sebelum bertindak memadamkan api terbabit.

Zakaria berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mayat yang dibakar itu adalah mayat seorang wanita yang dipercayai berusia lingkungan 20-an.
“Tiada pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan identiti mangsa sama ada rakyat negara ini atau sebaliknya.

Mayat berkenaan yang terbakar hampir 100 peratus menyukarkan usaha untuk mengecam identiti mangsa dan ia dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

“Setakat ini polis belum mengenal pasti punca dan sebab kematian sebelum bedah siasat ke atas mayat terbabit dijalankan.

Polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dibakar di kawasan itu,” katanya.

“Orang awam yang kehilangan ahli keluarga juga diminta supaya menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulim atau Ketua Polis Daerah Kulim di talian 04-4906222 atau balai polis berhampiran.