BATU PAHAT: Satu mayat yang rentung dan ditimbus separuh badan dengan pelepah kelapa sawit ditemui dalam kebun kelapa sawit di Kampung Jawa, Batu 1, Jalan Yong Peng-Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata mayat berkenaan ditemui kira-kira jam 9 pagi oleh seorang pemilik kebun kelapa sawit ketika hendak membersihkan kebunnya.
"Lokasi penemuan mayat adalah 700 meter dari jalan masuk utama ke kampung itu. Mayat itu ditemui di dalam lopak air dan ditimbus sedikit dengan pelepah kelapa sawit.


"Polis menemui kesan bakar di permukaan tanah kira-kira 10 meter dari mayat itu yang dipercayai menjadi tempat pembakaran sebelum mayat itu dibuang ke dalam lopak berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Din berkata keadaan mayat yang terbakar itu menyebabkan polis sukar mengenalpasti jantina dan identiti mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal unit forensik mempercayai mangsa dibunuh dan dibakar sejak empat atau lima hari lalu. - BERNAMA