Media Prima anjur karnival sukan SEBAHAGIAN daripada warga Media Prima menyertai Karnival Sukan Media Prima Berhad di Bowl One Utama.
11 acara dipertandingkan erat hubungan kakitangan, bina semangat perpaduan

KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 kakitangan Media Prima Berhad mula bersaing menerusi rumah sukan masing-masing dalam usaha merebut piala pusingan pada Karnival Sukan Media Prima 2012 yang bermula secara rasmi di sini, semalam.
Mereka akan menyertai hampir 11 acara yang dipertandingkan dalam usaha kumpulan media bersepadu itu merapatkan hubungan antara satu sama lain melalui aktiviti riadah.

Ketua Pegawai Operasi Media Prima, Ahmad Izham Omar, berkata program sedemikian amat baik bagi semua kakitangan untuk meninggalkan sebentar kerja dan keluar bersenam.

Katanya, pada masa sama ia boleh mengeratkan hubungan antara semua kakitangan jabatan dan unit bahagian cabang yang ada dalam kumpulan seperti televisyen, media cetak, radio, media baru dan juga pengiklanan.

“Program sebegini dianjurkan buat kali kedua, dalam usaha membina semangat kesukanan dan ruang untuk bersantai bersama rakan sekerja,” katanya ketika ditemui selepas perasmian, di sini, semalam.

Karnival dimulakan secara rasmi dengan penyerahan bendera kepada setiap rumah oleh Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Amrin Awaluddin kepada wakil rumah mereka.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Mohammad Azlan Abdullah; Ketua Jabatan Media Baru Media Prima, Datuk Zainul Ariffin Mohamed Isa serta Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa NTV7, TV8, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail.

Antara aktiviti sukan diadakan adalah seperti bowling, sepak takraw, badminton, futsal, bola jaring, bola tampar, dart, pingpong dan karom.

Tahun lalu, kontinjen Rumah Oren menjuarai karnival berkenaan dengan mengumpul 57 mata hasil kemenangan dalam enam daripada 12 acara dipertandingkan.