Nasional
Media diminta siar berita berintegriti
2010/07/07
SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Razak mahu media membina akal budi serta tahap intelektual masyarakat dengan berita benar berasaskan fakta, ada kredibiliti, berintegriti bukan cerita karut-marut dan dusta.
Merujuk kepada berita FELDA Bangkrap, Perdana Menteri berkata, media tidak sepatutnya mereka berita, melakukan pembohongan atau membuat cerita bedoah (loghat Pahang bermaksud menipu) kerana ia boleh mengelirukan masyarakat.
Kebenaran penting... jangan reka, jangan adakan cerita, jangan buat pembohongan dan jangan buat bedeah. Cerita bedoah banyak sekarang... FELDA bangkrap bedoah, dusta. Kalau nak sebut kelemahan, saya terima tetapi kalau kata sesuatu yang tidak benar sama sekali kita merosakkan akal budi dan pemikiran masyarakat kita.
Merosakkan bangunan atau jalan boleh kita perbaiki tetapi merosakkan akal budi dan nilai masyarakat kita, padah kesannya dan kita tidak mungkin menjadi sebuah negara yang kuat dan hebat, katanya ketika melancarkan Program KarangKraf Peduli dan akhbar Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohammad.
Memuji pencapaian Karangkraf sebagai syarikat milik penuh Bumiputera yang berjaya, Najib berharap syarikat itu yang kini menerbitkan 28 majalah dan sebuah akhbar, Sinar Harian, dapat membantu meningkatkan budaya membaca di kalangan rakyat.
Komen Anda
Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.
Senarai komen