Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN), Manir Yusof Awang Hitam, berkata ia adalah idea kreatif penduduk kampung untuk pemimpin nombor dua negara.
Menurutnya, meja bulat dan bangku buluh seperti itu pernah menjadi tempat utama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjamu selera pada tahun lalu juga hasil ciptaan penduduk tempatan.
Katanya, meja bulat dan bangku berukuran 65 meter diperbuat daripada buluh yang dicipta khas sempena lawatan Perdana Menteri itu diiktiraf terpanjang di negara ini sekali gus berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records.
Beliau berkata, pada tahun ini penduduk setempat turut menggunakan konsep yang sama bagi menyambut kedatangan Muhyiddin dan bangku itu dipanjangkan lagi.
Selain meja dan bangku buluh, pentas utama juga dibina secara tradisional dengan dinding dan lantai menggunakan material kayu nibung, manakala atap dihasilkan daripada daun pokok sagu.
Manir Yusof berkata, kira-kira 20,000 penduduk tempatan dijangka menghadiri Jamuan Rakyat itu dan ketibaan Muhyiddin bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said akan disambut lebih 1,500 pemuda UMNO bermotosikal.
Manakala 1,000 pelajar daripada empat sekolah rendah dan menengah berdekatan dan masing-masing 50 kenderaan pacuan empat roda dan motosikal klasik akan turut menyambut ketibaan dua pemimpin itu. - BERNAMA
