Pengalaman di pentas Broadway banyak membantu teknik nyanyian Lea Salonga

KATA seorang teman, dia sangat menantikan persembahan Lea Salonga. Bukan kerana mahu mendengar lagu meletupnya kerana penyanyi itu tidak mempunyai banyak lagu yang popular, sebaliknya dia tidak sabar mahu mendengar suara bintang Miss Saigon itu kerana dia memiliki vokal yang hebat.

Bagaimanapun, masih ada beberapa buah lagunya yang dinantikan seperti A Whole New World daripada animasi Aladdin yang mana wanita itu meminjamkan suaranya untuk vokal Puteri Jasmine untuk lagu berkenaan dan lagu animasi Mulan, Mulan II, muzikal Miss Saigon dan Les Miserable.
Benar bagai dikatakan teman, suara Salonga memang ‘power’. Tak hairanlah kenapa Dewan Plenary, Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) penuh. Mungkin berkat menimba pengalaman di pentas Broadway sedari usianya 17 tahun menerusi muzikal Miss Saigon banyak membantu teknik nyanyian wanita berusia 39 tahun.


Tak hairan juga kenapa penonton yang kebanyakannya berusia dari lingkungan umur pertengahan 30-an hinggalah kepada mereka yang lebih berusia asyik ditenggelami kelunakan vokal Salonga. Muncul sekitar jam 8.30 malam dengan gaun hitam, tanpa sebarang bicara, dia terus saja menggenggam mikrofon dan menyanyi, diiringi enam pemuzik yang diketuai adiknya, George Salonga yang bermain piano.

Bicaranya hanya bermula selepas ibu kepada seorang cahaya mata yang kini berusia empat tahun itu selesai menyanyikan lagu pertamanya Feeling Good yang dipopularkan oleh Michael Bubble. Selain berkebolehan menyanyi dengan baik, dia juga seorang yang petah berbicara. Selesai menyanyikan sebuah lagu, Salonga akan meluangkan masa beberapa minit berkomunikasi bersama peminat sebelum meneruskan persembahan.

Butir bicara kebanyakannya berkisar kerjayanya yang bermula seawal usia tujuh tahun. Percubaan pertamanya menerusi muzikal The King And I. Juga kisah percintaannya dengan suami, Robert Charles Chien, jejaka kacukan Cina dan Jepun yang dikenali ketika dia sibuk berulang alik ke Los Angeles. Hasil perkongsian hidup selama enam tahun, pasangan itu dikurniakan seorang puteri comel bernama Nicole Beverly berusia 4 tahun yang turut hadir menyaksikan persembahan ibunya.
Mungkin berkat pengalaman membuat persembahan bertahun-tahun, banyak mengajar wanita ini. Dia berbicara selamba, sesekali dia berlawak menimbulkan geli hati penonton dan terburai derai tawa mereka.
Kebanyakan lagu dipersembahkan Salonga selama satu jam setengah di KLCC adalah rangkaian lagu kegemarannya. Malah sempat dia berseloroh, sejak usianya semakin meningkat, dia tidak begitu mempedulikan hati peminat dalam soal memilih lagu. Apa saja lagu yang dirasakan menarik akan dibawanya seperti lagu Poker Face milik Lady Gaga. Lagu yang digubah semula itu dibawakan dengan cukup baik sekali olehnya. Walaupun tiada tarian energetik, tetapi Salonga tetap berjaya membuatkan penonton bergoyang sama.

Wanita yang mengagumi Michael Jackson itu turut mengambil kesempatan pada malam itu mendendangkan sebuah lagu untuk penyanyi pujaannya. Katanya, saat mengetahui Michael meninggal dunia, dia dan adiknya George amat patah hati. Justeru di setiap persembahannya, dia tidak akan ketinggalan mendedikasikan sebuah lagu untuk Michael Jackson yang berjudul Gone Too Soon.

Kelunakan vokal Salonga tambah terserlah apabila dia mencuri hati penonton Malaysia dengan mendendangkan sebuah lagu Melayu berjudul Tiga Malam yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh kumpulan 2 By 2 dan Datuk Siti Nurhaliza.

Inisiatif yang diambil Salonga untuk mendendangkan lagu Melayu mencambahkan lagi kekaguman terhadapnya. Ini kerana lagu melankolik itu dibawanya dengan cukup baik. Pendek kata cukup rasa.

Sebutan bahasa Melayunya tiada cacat cela walaupun dia bergantung kepada lirik yang diletakkan di lantai pentas, penghayatannya baik dan kemerduan suaranya menimbulkan kesayuan di jiwa penonton.

Terdahulu sebelum menyanyikan lagu itu, dia memohon maaf, bimbang nyanyiannya mencacatkan lagu itu. Apakan tidak, lagu itu didendangkan atas permintaan rakannya Rahmah Mahmud dan dia hanya sempat berlatih dalam tempoh yang singkat. Hanya berbekalkan CD nyanyian 2 By 2 dan Siti, dia berjaya membawakan lagu itu. Malah Salonga sempat memuji penyanyi nombor satu negara itu. Katanya vokal Siti Nurhaliza hebat dan dia amat mengagumi Siti.

Selain itu, beberapa lagu lain yang turut didendangkan Salonga pada konsert pertamanya di sini ialah I Dream The Dream, I Give My Life For You, Tailor The Latte Boy , On My On, Every Body Say Don’t serta banyak lagi. Menutup persembahannya pada malam itu, Salonga memilih lagu daripada muzikal Anne. Selesai persembahan, dia sempat meluangkan masa bertemu peminat untuk sesi autograf.