Calon DAP menang di Sibu kerana pengundi marah kepada komponen BN negeri
"KAMI bukan anti-Barisan Nasional (BN) tapi kami sudah bosan dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang pemimpinnya asyik bertelagah sesama sendiri. Nampak gaya SUPP tidak belajar daripada kekalahan teruk pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri 2006," demikian komen seorang pengundi lelaki berusia 58 tahun hadir pada majlis mesra rakyat di Rajang Park, Sibu.
Namun pengundi Cina yang enggan namanya disiarkan itu turut mengakui cukup senang dengan pendekatan Datuk Seri Najib Razak, yang kerap turun padang melakukan tinjauan mesra. “Pemimpin dan wakil rakyat di Sibu jarang tunjuk muka, jarang turun padang jenguk masalah kami. Mereka patut ikut cara Perdana Menteri kita,” katanya.
Penduduk di kawasan Melayu dan Iban yang ditemui juga mengadu perkhidmatan diberikan terlalu perlahan untuk sampai kepada mereka. Malah ada mengadu seperti memperbaiki jambatan kayu yang rosak akibat banjir pun belum tertunai sedang ikrar sudah lama diberi. Akibatnya, BN menerima padah pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu, 16 Mei lalu.
Tidak sampai 24 jam selepas keputusan pilihan raya itu diumumkan menyaksikan kubu kuat BN itu jatuh ke tangan pembangkang, Presiden SUPP, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, tampil mengakui rasa kurang senang masyarakat Cina di Sibu terhadap parti itu sebagai punca kekalahan BN.
Tsunami politik di Sarawak sebenarnya bermula pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri 2006, terutama membabitkan SUPP - parti tertua diasaskan pada 1959 itu. Semua masih ingat SUPP kalah teruk di lapan kerusi dalam pilihan raya 2006. Rentetan kekalahan itu, SUPP mula retak sehingga timbul desakan supaya Dr Chan melepaskan jawatan dan beliau kemudian akur. Namun atas sebab tertentu, perancangan Dr Chan berundur akhirnya tidak menjadi kenyataan. Sebelum itu nama Pengerusi SUPP Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh, juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak, berada di carta teratas, sebagai pengganti.
Namun belum pun reda krisis akibat kekalahan besar SUPP pada 2006, muncul masalah baru susulan penubuhan Cawangan Dudong di Sibu oleh kumpulan diketuai Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Dr Soon Choon Teck, juga Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong, menyebabkan SUPP Sibu pecah dua.
Dudong terletak dalam Parlimen Lanang. Cadangan penubuhan SUPP Cawangan Dudong sebagai cawangan baru mulanya dipersetujui peringkat Jawatankuasa Pusat parti tetapi dibatalkan kemudian. Apabila Choon Teck meneruskan hasrat menubuhkan Cawangan Dudong, krisis bertambah parah sehingga Pendaftar Pertubuhan mengisytiharkan penubuhan cawangan itu tidak sah.
Masalah dalaman SUPP berterusan biarpun cuba disembunyikan. Malah masyarakat Cina menjadikan SUPP tempat berlindung sejak 51 tahun lalu, terutama di Sibu, mula bosan. Parti itu sedaya upaya menutupnya termasuk ketika pilihan raya kecil Parlimen Sibu, namun kehadiran pemimpin yang tidak sebulu di pentas sama gagal menambat hati penyokong setia SUPP termasuk pengundi yang tahu semua itu lakonan semata-mata.
Jentera SUPP di peringkat akar umbi dikatakan tidak efektif, terutama di kalangan puak bertelagah kerana marah susulan krisis penubuhan Cawangan Dudong. Jatuhnya kerusi Parlimen Sibu ke tangan DAP sebenarnya manifestasi kemuncak kemarahan masyarakat Cina Sibu kepada SUPP.
Jentera kempen SUPP di Sibu begitu hambar sehingga tanggungjawab memenangi sokongan pengundi lebih banyak digalas bahu parti komponen lain.
Taktik kempen DAP juga jauh mendahului dengan menggunakan teknologi serba canggih, termasuk menggunakan projektor LCD dan paparan skrin besar, selain khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memaklumkan ceramah bukan saja oleh calonnya malah semua pemimpin pakatan pembangkang selain perang poster lebih berkesan berbanding SUPP.
Bilangan jentera pembangkang bukan saja membabitkan DAP, malah Pas dan PKR begitu ramai dari Semenanjung untuk berkampung di Sibu malah disifatkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, sebagai jumlah paling besar dalam sejarah politik di Sarawak. Selain sebuah hotel bertaraf tiga bintang jadi markas pakatan, mereka menyewa beberapa rumah penduduk untuk menampung bilangan petugas yang begitu ramai.
Api kemarahan penduduk Sibu terhadap SUPP semakin membara apabila pembangkang ‘menyimbah minyak’ dengan isu sensitif dan isu tempatan seperti agama, tanah dan banjir seterusnya melangkaui sehingga isu kepemimpinan Sarawak yang sudah terlalu lama. Isu yang dimanipulasikan pembangkang amat sensitif tetapi begitu ‘dekat di hati’ rakyat.
Air longkang melimpah dan genangan air di kebanyakan kawasan ketika pengundi keluar Ahad lalu diambil kesempatan pembangkang menaikkan kemarahan penduduk yang sudah berpuluh tahun dibelenggu masalah banjir.
Isyarat yang diberi pengundi Sibu kelmarin ialah suara kekecewaan mereka yang sudah menunggu terlalu lama dan mempersoalkan ‘mengapa baru sekarang’ (untuk kerajaan menangani masalah mereka). Kalau tidak kerana kehadiran Perdana Menteri membantu kempen di Sibu, SUPP mungkin akan kalah lebih teruk kerana pada hari-hari terakhir kempen ramai meramalkan DAP boleh menang besar kalau mengambil kira sentimen penduduk tempatan.
Namun ketika Kerajaan Pusat menampakkan kesungguhan menangani masalah rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak, pemimpin serta wakil rakyat di peringkat negeri juga harus memainkan peranan.
Bagi Sarawak, isu tempatan sebenarnya isu kitar semula yang digunakan pembangkang setiap pilihan raya di Sarawak tetapi tidak lagi boleh dipandang sepi. Jika pada pilihan raya sebelum ini isu sama gagal mempengaruhi pengundi di Sarawak untuk tidak terus menyokong BN, tindakan agresif pembangkang terus-terusan membangkitkan isu sama, mulai menampakkan kesan dengan apa yang berlaku di Sibu.
Kajian menyeluruh disusuli tindakan bersepadu perlu diambil untuk memastikan masalah sama tidak merebak menjelang pilihan raya negeri yang perlu diadakan sebelum 24 Julai 2011. Pada masa sama SUPP perlu menyelesaikan apa jua kemelut parti itu bagi memastikan ia kekal relevan untuk kaum Cina di Sarawak.