Laman Utama » Rencana

Menang tapi gagal jadi Ketua Menteri

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my
2011/04/18
Share |
Willie Liau (kiri) dan Baru Bian
Willie Liau (kiri) dan Baru Bian
MENANG tetapi tidak mampu menjadi Ketua Menteri Sarawak yang baru. Nescaya, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba'kelalan, Baru Bian terpaksa sekadar berpuas hati dengan kemampuannya merampas kerusi berkenaan daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 473 undi. Meskipun kurang dua undi berbanding undi majoriti diperoleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan, Nelson Balang Ringin pada pilihan raya 2006, Baru tetap menewaskan calon BN, Willie Liau, kelmarin.

Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak itu memperoleh 2,505 undi berbanding Willie yang mendapat 2,032 undi. Peguam yang mula menceburi politik sebagai ahli Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) itu bagaimanapun gagal menggenggam cita-cita untuk mengangkatnya sebagai ketua menteri yang baru berikutan kegagalan pembangkang menguasai sekurang-kurangnya 36 kerusi. Namun, bukan mudah bagi Baru yang berasal dari Ba’kelalan untuk merampas kerusi itu. Beliau sudah bergerak di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba'kelalan sejak dua tahun lalu. Selain menjaja isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), Baru juga mendapat keyakinan pengundi berikutan kekerapannya mengunjungi masyarakat di kawasan terpencil, sama ada yang tinggal di kawasan tanah tinggi Ba'kelalan sekitar 152 kilometer (km) dari pekan Lawas atau yang mendiami sekitar antara 30 hingga 40 km dari pekan itu. Berdasarkan kerja yang sudah lama dilakukannya itu, kempen 10 hari menjelang pilihan raya negeri sekadar peluang untuk menggilap semula tugas yang sudah lama dilakukannya itu. Daripada 27 daerah mengundi, Baru berjaya mencuri keyakinan pengundi di 15 daerah mengundi, manakala baki 12 lagi diperoleh Willie dari Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Bagaimanapun, Baru yang sering menjaja isu tanah NCR tewas di daerah mengundi Ba'kelalan yang menyaksikan beliau hanya memperoleh 52 undi di saluran satu dan 41 undi di saluran dua berbanding Willie yang bagi setiap saluran, memperoleh 101 dan 80 undi.

Empat daerah mengundi paling banyak menyumbang kemenangan Baru ialah di Semadoh, Sukang, Tuma dan Siang. Bagi daerah mengundi Semadoh, beliau memperoleh 150 undi di saluran satu dan 194 undi di saluran dua, jauh meninggalkan Willie yang hanya mendapat 48 dan 32 undi bagi setiap saluran itu.

Kejayaan Baru turut disebabkan kelewatan Willie dan jentera BN mematahkan serangan Baru dan jentera pembangkang, terutama dalam hal tanah NCR dan kitab Bible yang dicetak dalam bahasa Melayu.
Willie mengakui kelewatan jentera mematahkan serangan itu menyebabkan beliau gagal mempertahankan kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, bagi seorang jentera BN yang turut bertanggungjawab membantu kempen Willie, beliau lebih meletakkan kegagalan mempertahankan kerusi berkenaan kepada jentera SPDP yang didakwanya gagal merayu undi pada saat akhir mengundi.

“Saya terpaksa beli 10 kotak air untuk diberi kepada pengundi di beberapa pusat mengundi, sedangkan jentera SPDP tidak pandai mengambil peluang itu. Itu baru hal beri air, belum lagi hal lain. Willie dilihat kebanyakan pengundi sebagai calon bidan terjun. Hanya pada hari keenam, posternya dinaikkan. Macam mana mahu menang?” kata lelaki itu.

Rumusannya, jelas kemampuan Baru meraih undi bukan di kawasan terpencil Ba’kelalan dan Bario yang memerlukan tempoh perjalanan kira-kira 12 jam melalui laluan balak sejauh 152 kilometer.

Sebaliknya, keyakinan pengundi di kawasan sekitar 30 hingga 40 kilometer dari pekan Lawas yang kebanyakannya masih jauh ketinggalan dari aspek infrastruktur, memberikan kelebihan kepada beliau. Ia ditambah kelembapan jentera SPDP bukan setakat memasang poster Willie, malah mematahkan hujah Baru serta gagal mengambil peluang merayu undi pada saat akhir.
Artikel Lain