Mengenang legasi AR Tompel BH Online

Mengenang legasi AR Tompel

Oleh Akmal Abdullah
2011/05/22

SETIAP Mei, sering kali saya akan segera mengingati tarikh keramat pemergian Seniman Agung kita, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggal dunia pada pagi 29 Mei 1973 akibat serangan sakit jantung. Bermakna, pada 29 Mei ini akan genap 38 tahun tokoh seni tersohor alam Melayu ini meninggal dunia.

Sempena tarikh itu juga sejak tiga tahun lalu, kerajaan mengisytiharkan ia secara rasmi sebagai Hari Seniman dan diraikan setiap tahun menerusi pelbagai kegiatan yang mengkhusus kepada apa saja berkaitan dunia seni. Ia termasuklah seni perfileman, muzik, tampak, ukiran, lukisan, teater dan sebagainya. Sempena Hari Seniman juga diadakan majlis tahlil untuk P Ramlee dan semua buat seniman yang kembali ke alam baqa.

Untuk Hari Seniman 2011, khabarnya beberapa persiapan sudah dibuat pihak Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan mengajak beberapa pertubuhan dan persatuan berkaitan seni mengadakan acara masing-masing termasuklah Karnival P Ramlee yang akan dianjurkan Persatuan Penyanyi Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (PAPITA).

Kita sedar, meskipun pemilihan Hari Seniman jatuh pada tarikh pemergian P Ramlee, ia bukannya bererti kita mahu meraikan pemergian Seniman Agung itu. Ia adalah simbolik pemergian seorang seniman ternama dan serba boleh yang cukup hebat dianugerahkan untuk bangsa dan negara kita, maka Hari Seniman adalah simbolik mengenang dan meraikan penggiat seni di negara kita sama ada yang masih terus berjuang mahupun yang sudah pergi buat selama-lamanya - tidak mengira apa saja bidang kesenian - yang penting menghargai sumbangan jasa dan pengorbanan menerusi karya seni untuk masyarakat, nusa dan bangsanya.

Dalam menanti sambutan Hari Seniman tidak lama lagi, baru-baru ini, apabila saya melihat kelibat Adlin Aman Ramlie dalam program Jangan Tidur Lagi di TV3, saya tiba-tiba teringat kepada bapa Adlin iaitu arwah seniman A R Tompel, iaitu pelakon komedi terkenal pada era kegemilangan filem Melayu sekitar tahun 1950-an dan 60-an. Ingatan saya begitu kuat dengan mengimbas semula beberapa watak lakonan beliau menerusi siri filem lakonannya bersama P Ramlee terutama mengenangkan wataknya yang lucu dengan lakonan komedi bersahaja terutama dalam Do Re Mi, Nasib Do Re Mi, Keluarga 69, Anak Bapak, Ahmad Albab dan Laksamana Do Re Mi.

Mengenai lakonannya dalam filem, meskipun Allahyarham mula berlakon pada 1950 menerusi filem Rachun Dunia arahan BS Rajhans, tetapi penampilannya lebih menyerlah ketika beliau berlakon untuk Studio Merdeka Kuala Lumpur pada era 1960-an.

Saya juga baru tersedar, Mei adalah bulan pemergian A R Tompel. Allahyarham meninggal pada tahun dan bulan sama seperti mana P Ramlee. Cuma, A R Tompel meninggal dunia pada awal Mei. Maaf, saya tidak tahu tarikh sebenar. Kematian Allahyarham disebabkan kemalangan jalan raya di Jalan Genting-Kelang, Setapak, Kuala Lumpur. Cerita yang pernah saya dengar, seniman itu dilanggar oleh sebuah motokar ketika sedang melintas jalan raya.

Lebih menarik apabila mengaitkan A R Tompel dengan P Ramlee ialah sebelum beliau mengahwini seniwati Ruminah Sidek (ibu Adlin), beliau terlebih dulu memperisterikan Saloma apabila mereka berkahwin pada awal 1950-an. Sebelum itu juga A R Tompel sudah berkahwin dengan P Suriati. Dalam catatan yang ada, Allahyarham pernah empat kali berkahwin. Saloma adalah perkahwinan kedua, manakala perkahwinan ketiganya selepas bercerai dengan Saloma ialah Jah Ismail. Perkahwinan keempatnya, barulah dengan Ruminah.

Secara peribadi, A R Tompel adalah pelakon komedi yang paling saya sukai sampai sekarang. Tidak ada pelakon komedi atau pelawak zaman kini yang saya gemari seperti mana saya cukup meminati komedi gaya A R Tompel. Lakonannya bersahaja sebab jenaka yang dibuatnya itu bukan menerusi dialog atau gerak fizikalnya tetapi lebih kepada wajahnya yang memang nampak kelakar, bersama rias dan air muka yang bijak bermain dengan mood komedi meskipun ketika adegan wataknya sedang marah atau serius.

Mungkin ramai generasi muda hari ini tidak kenal siapa sebenar A R Tompel biarpun mereka kenal wajah dan keletah wataknya. Nama sebenar beliau ialah Aman Ramli dan berasal dari Tanjung Balai, Asahan, Indonesia. Nama ‘Tompel’ diambil daripada satu kisah bersiri yang dikarangnya berjudul Nasib Si Tompel, Mimpi Si Tompel dan Si Tompel Tertuduh ketika beliau banyak berkarya pada zaman remajanya di negara kelahirannya. Bakat seninya yang bermula sebagai penulis buku cerita dikembangkan menjadi pelakon apabila menyertai kumpulan sandiwara, Keris Opera ketika usianya 20-an sehinggalah beliau ke Singapura pada 1946 bersama kumpulan Rayuan Sukma.

Allahyarham mula bekerja di Malay Film Productions (MFP) di Jalan Ampas, Singapura pada 1949 dan filem pertama lakonannya, Rachun Dunia mula mempopularkan beliau kerana watak lucu dibawanya.

A R Tompel pernah mengarah filem untuk syarikat Nusantara Film dengan judul Perkahwinan Rahsia, Norma, Cinta Murni, Sehati Serasa, Sesal Tak Sudah dan Seniati. Beliau juga mempunyai kemahiran yang pelbagai dalam kerja di sebalik tabir selain banyak idea untuk menghasilkan skrip sendiri. Di Studio Merdeka, beliau pernah mengarah filem Abu Nawas.

Industri filem tempatan bagaikan melupakan pada A R Tompel. Allahyarham harus dikenang secara khusus dengan kegiatan tertentu seperti mengadakan majlis apresiasi atau diskusi filem untuk membincangkan karya, pengarahan dan lakonannya. Bakat hebat A R Tompel tidak mampu ditandingi anaknya sendiri - A R Abdul, Amran Tompel mahupun Adlin. Allahyarham meninggalkan legasi lawak jenaka yang tersendiri, gerak lakonnya ada kelainan, dalam bodoh ada cerdiknya, dalam sinis ada mesejnya, dalam tawa ada muslihatnya. Sewajarnya juga diterbitkan sebuah buku biografi mengenai Allahyarham.

A R Tompel adalah seorang seniman tulen dan dia berjuang menerusi penulisan cerita jenaka sejak zaman negaranya dijajah Belanda dan berterusan ke negara lain di alam Melayu untuk mengangkat kesedaran bangsa Melayu. Seperti anak seni sejati lain, semangat A R Tompel sebagai pengkarya dan pelakon komedi wajar dicontohi kerana dia banyak berkorban untuk kegembiraan dan kepuasan orang lain. Teringat saya pada kata-kata tokoh penyair dari Jerman, Johann Wolfgang Goethe: “Hanya seorang sneiman yang melihat semangat, tetapi selepas dia memberitahu mengenai kemunculan semangat itu, semua orang barulah akan melihatnya...”