Akses pembiayaan penting untuk melahirkan usahawan kreatif, hasilkan produk inovatif
PERUSAHAAN Kecil dan Sederhana (PKS) ialah komponen penting dalam ekonomi negara dengan ia mewakili 99.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaan di negara ini.
Sektor yang berperanan penting dalam mengimbangi ekonomi negara ketika kegawatan ekonomi itu menawarkan 65.1 peratus atau kira-kira tiga juta peluang pekerjaan serta menyumbang 32 peratus pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Mengikut bancian, 86.5 peratus PKS ialah dalam sektor perkhidmatan dengan kebanyakannya dalam perniagaan runcit, restoran, borong, pengangkutan dan komunikasi serta perkhidmatan profesional.
Sebanyak 7.3 peratus pula dalam sektor perkilangan seperti industri pakaian dan tekstil, keluaran logam dan mineral serta makanan dan minuman manakala 6.2 peratus dalam sektor pertanian kebanyakannya dalam industri tanaman makanan, keluaran untuk pasaran dan hortikultur serta ternakan.
Berikutan peranan dan sumbangan besar sektor PKS kepada ekonomi negara, sewajarnya pembangunan PKS menjadi agenda utama kerajaan dalam Belanjawan 2012 yang akan dibentangkan esok.
Pendekatan menyeluruh dan komprehensif perlu merangkumi tiga teras strategik umum iaitu pengukuhan infrastruktur yang membolehkan pembangunan PKS, pembinaan kapasiti dan keupayaan PKS serta peningkatan akses kepada pembiayaan.
Penurunan kadar cukai korporat dan individu bagi mewujudkan ekosistem perniagaan lebih menarik di negara ini juga terus menjadi harapan di kalangan PKS dalam belanjawan kali ini seperti tahun sebelumnya.
Selain itu, belanjawan kali ini diharap mampu menangani masalah PKS berhubung isu kenaikan kos bahan mentah dan utiliti yang meningkat akhir-akhir ini.
Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB Malaysia), Agil Faisal Ahmad Fadzil, berkata pihaknya berharap Belanjawan 2012 menyediakan kemudahan kepada akses untuk dana dan pembiayaan untuk usahawan PKS terutama usahawan muda.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini banyak mengumumkan rancangan seperti keinginan melahirkan usahawan inovatif dan kreatif bagi membantu melahirkan produk baru.
Bagaimanapun, katanya, untuk mengeluarkan produk baru seperti itu memerlukan perbelanjaan tinggi, menjalani penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemasaran sedangkan usahawan berkenaan berdepan masalah pembiayaan yang terhad.
“Oleh itu, kami berharap ada satu mekanisme atau cara baru yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam belanjawan kali ini khususnya untuk PKS yang ingin memperkembangkan perniagaan yang berteraskan inovasi dan kreativiti.
“Pinjaman melalui institusi perbankan saja tidak memadai, pilihan lain seperti modal teroka (VC), ‘angel’ (pembiayaan tidak bersikap keuntungan tetapi lebih kepada membantu) atau belanjawan R&D perlu dilihat lebih serius,” katanya.
Agil Faisal berkata, selain itu, pihaknya berharap VC tidak hanya menumpukan pemberian pembiayaan kepada syarikat teknologi komunikasi maklumat (ICT), sebaliknya turut memberikan perhatian kepada 12 sektor dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
“Selama ini, VC dilihat memberikan tumpuan pembiayaan kepada syarikat ICT atau syarikat besar yang ingin membesarkan lagi perniagaan.
“Dengan memberikan perhatian kepada 12 sektor NKEA, ia dapat memastikan PKS menerima pembiayaan lebih luas daripada VC. Ia juga perlu diberikan kepada syarikat baru mula dan menengah dalam semua jenis perniagaan PKS,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, belanjawan kali ini juga diharap melihat kepada akses pasaran yang mana PKS digalakkan membuat promosi bagi menjual produk masing-masing ke luar negara.
Katanya, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) sebelum ini, kerajaan menyediakan geran atau pinjaman mudah untuk syarikat melakukan promosi di luar negara dengan pembiayaan hingga RM2 juta.
“Untuk melahirkan PKS bertaraf global, ia perlu diambil kira. Ini bukan satu pembaziran kerana 99.2 peratus usahawan di negara ini ialah PKS dan ia penyumbang terbesar kepada sektor pekerjaan dan perniagaan di negara ini,” katanya.
Selain itu, Agil Faisal berkata, pihaknya berharap kerajaan memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti PKS dengan menyalurkan dana untuk mendapatkan pensijilan yang relevan supaya lebih kompetitif pada peringkat antarabangsa.
“Antaranya, HACCCP (Sistem Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal), GMP (Amalan Pengilangan Yang Baik) dan Halal. Jika kerajaan memberi lebih banyak peruntukan kepada PKS untuk pensijilan, ia akan membuatkan mereka jadi lebih kompetitif,” katanya.