Tekanan kos sara hidup akibat krisis ekonomi, peningkatan perbelanjaan wajar diatasi
POTONGAN kadar semasa cukai korporat dan individu, pengenalan beberapa insentif percukaian baru seperti rebat cukai serta pelepasan cukai dalam sektor perumahan, pendidikan dan kesihatan ialah perkara asas yang harus diberi tumpuan dalam pembentangan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat, Jumaat ini.
Semua itu adalah ‘permintaan khusus’ peserta industri serta orang ramai yang mengharapkan agar kerajaan mampu merealisasikan ia kepada bentuk kenyataan mulai tahun depan.
Tujuan utama ialah membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat terutama yang berpendapatan rendah dalam mengharungi kekangan kelembapan ekonomi luaran ekoran krisis kewangan di Amerika Syarikat dan Eropah, manakala tujuan keduanya untuk mengukuh dan melonjakkan lagi kedudukan daya saing negara pada peringkat global.
Penentuan kedudukan daya saing memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi orang ramai dan pelabur terhadap sesebuah negara kerana menerusinya, ia mampu mempengaruhi keputusan pada peringkat penggubal dasar.
Pengarah Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC), Azura Othman, berkata dalam menangani masalah peningkatan kos sara hidup, dua cara dapat dilakukan serentak iaitu mengurangkan kos barangan asas (seperti yang dilaksanakan kerajaan ketika ini) dan meningkatkan jumlah pendapatan rakyat.
“Sememangnya menjadi hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.
“Bagaimanapun, segala langkah yang sedang diambil kini lebih bersifat jangka panjang. Apa yang diperlukan sekarang ialah lebih banyak inisiatif untuk sektor ekonomi yang dapat menghasilkan kesan atau memberikan impak dalam jangka masa pendek.
“Justeru, bagi menangani masalah kos sara hidup yang tinggi, langkah yang diambil haruslah sesuatu yang dapat memberi impak serta-merta dan disasarkan kepada kelompok sasaran tertentu untuk menjadikan ia sebagai satu inisiatif yang berkesan,” katanya.
Azura berkata, cukai ialah antara kos yang terpaksa ditanggung oleh semua pihak, baik individu mahu pun badan korporat, manakala kos lain seperti bahan api, makanan, pakaian dan tempat tinggal juga antara kos sara hidup yang tidak dapat diketepikan.
“Oleh yang demikian, antara kos yang dapat dikurangkan untuk mengurangkan bebanan sara hidup rakyat secara terus dan serta merta adalah kos cukai yang perlu dibayar.
“Kos cukai yang rendah bermakna pertambahan gaji bersih dan keuntungan bersih yang lebih tinggi untuk diagihkan bagi menampung kos-kos sara hidup yang lain,” jelasnya.
Beliau berkata, menerusi pengurangan cukai berkenaan, lebih banyak perbelanjaan domestik dapat dilakukan kelompok pengguna yang terdiri daripada individu dan syarikat, sekali gus menjana perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Sekiranya perbelanjaan domestik ini dapat ditingkatkan, secara tidak langsung KDNK juga akan berkembang,” katanya.
Bagi merealisasikan harapan itu, beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah termasuk meningkatkan jumlah pemberian rebat cukai pendapatan individu; menaikkan jumlah pelepasan cukai untuk setiap anak yang ditanggung; serta memperluaskan skop pelepasan cukai meliputi kos perbelanjaan tambahan untuk pendidikan, kesihatan dan keperluan anak.
Menyentuh bantuan dalam pembelian kediaman, Pengarah Eksekutif PwC Taxation Services Sdn Bhd, Farah Rosley, berkata bagi membantu meringankan lagi beban pembelian rumah, yuran guaman pembelian rumah yang dikenakan mungkin boleh dijadikan tanggungan pemaju perumahan.
Malah, katanya, kos yuran guaman itu sebenarnya dibenarkan dalam pengiraan cukai pendapatan dalam sesebuah syarikat pemaju.
“Ini seterusnya mengurangkan lagi kos pembelian rumah, malah kos ini yang ditanggung oleh pemaju adalah kos yang dibenarkan dalam pengiraan cukai. Ini meringankan beban pembeli rumah dan seterusnya menggalakkan sektor perumahan dan pemilikan rumah bagi rakyat tempatan,” katanya.
Pada pembentangan belanjawan tahun lalu, kerajaan memberi potongan cukai 50 peratus ke atas duti setem bagi pembelian rumah kali pertama yang bernilai tidak melebihi RM350,000.
Sementara itu, peserta sektor hartanah, Brem Holding Bhd berharap kerajaan tidak akan menaikkan cukai keuntungan jualan hartanah (RPGT) di dalam Bajet 2012 ini.
Pengarah Urusannya, Khoo Chai Kaa, berkata sebarang kenaikan akan memberi kesan terhadap pembeli, sekali gus mengekang pembangunan hartanah di dalam negara.
Kerajaan sudah mengenakan semula RPTG pada Belanjawan 2010 pada kadar lima peratus.
Dalam pada itu, Ahli Ekonomi MIDF Research, Anthony Dass, berkata kerajaan mungkin mengurangkan sekitar satu peratusan mata dari 26 peratus bagi cukai individu dan 25 peratus cukai korporat pada pengumuman belanjawan nanti.