Mutakhir

Menteri Besar Pahang dijangka angkat sumpah Khamis ini

KUANTAN: Majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang dijangka diadakan pada Khamis ini di Istana Sultan Abu Bakar, Pekan.

Menurut sumber, majlis angkat sumpah Menteri Besar itu akan diadakan jam 5 petang, manakala majlis angkat sumpah bagi Exco kerajaan negeri dijangka diadakan pada pagi Jumaat.
Berikutan nama Menteri Besar belum diumumkan, spekulasi siapa bakal dilantik ke jawatan itu kini mula diperkatakan selepas Barisan Nasional Pahang (BN) yang dipimpin Pengerusi BN negeri Datuk Seri Adnan Yaakob berjaya mengekalkan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13, Ahad lalu.


BN Pahang berjaya memenangi 30 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Jumlah itu bagaimanapun merosot berbanding pilihan raya umum 2008, apabila BN Pahang menang 37 kerusi, sebelum calon Bebas Tanah Rata menyertai BN, menjadikannya 38.

Adnan, 63, mula dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 25 mei 1999, menggantikan Tan Sri Mohd Khalil Yaakob (kini Tun) yang dilantik sebagai Menteri Penerangan ketika itu.

Adnan yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai pada PRU13, mula bertanding di kerusi berkenaan pada 1986, dilantik sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua pada 2004, dan penggal ketiga pada 2008.

Menurut sumber, Adnan yang dianugerahkan gelaran "Datuk Seri Diraja" oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 2010, yang juga adalah penerima pertama gelaran itu dalam sejarah Pahang, dilihat tidak bermasalah untuk terus mendapat perkenaan istana bagi jawatan berkenaan.
Bagaimanapun beberapa pemerhati politik berkata beberapa nama juga disebut-sebut berkemungkinan bakal dilantik sebagai Menteri Besar Pahang yang baru.

Antaranya, Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menang di DUN Peramu Jaya dengan majoriti besar 7,627 undi.

Turut disebut ialah Timbalan Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin (DUN Lanchang) dan Datuk Shahiruddin Ab Moin (DUN Dong) yang juga pengerusi GiatMara.

- BERNAMA

CARIAN

BH LIVE

Twitter

Facebook