Mentransformasi industri kawalan keselamatan

Mentransformasi industri kawalan keselamatan

Akhbar Satar
2012/11/21

Penulis mendapati ada warga Afrika dilantik menjadi pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di Subang Jaya, sedangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini hanya membenarkan pengawal keselamatan terdiri daripada rakyat Malaysia dan warga Nepal saja. Ia satu perkembangan yang tidak sihat seolah-olah negara kita terlalu bebas sehingga siapa saja boleh berbuat apa yang mereka mahu walaupun melanggar undang-undang.

Sebelum ini kelulusan hanya diberikan kepada bekas tentera (Gurkha) warga Nepal layak bekerja di negara kita. Mereka bekas tentera British yang mempunyai pengalaman dalam menjaga keselamatan, berani dan mempunyai tahap disiplin tinggi. Malangnya kini pengawal keselamatan dari Nepal yang diambil ini terdiri daripada petani dan peladang. Tambahan pula, mereka diambil bekerja tanpa sebarang latihan, tiada pengalaman dalam bidang kawalan keselamatan, tidak juga menjalani pemeriksaan kesihatan dan tanpa menyemak latar belakang mereka. Mereka ini mungkin juga ‘pemberi maklumat’ atau kes pencurian di kawasan perumahan kita.

Perlu diingat bahawa industri kawalan keselamatan di Malaysia berkembang dengan pesat dan memberi keuntungan lumayan jika diuruskan dengan baik. Pada 2012, di bawah Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) ada 600 syarikat dan 150,000 pengawal keselamatan yang berdaftar di bawah PPKKM. Syarikat yang mengeluarkan uniform tanpa logo PPKKM dan tidak berdaftar dengan KDN adalah syarikat perkhidmatan keselamatan yang menjalankan perniagaan secara haram. Tanpa pendaftaran di bawah KDN, ia mustahil untuk KDN mengawal penubuhan syarikat berkenaan.

Didenda tidak melebihi RM10,000

Selain itu, banyak pemegang lesen yang memberi pinjaman lesen mereka kepada beberapa syarikat untuk mendapat untung cepat walaupun tidak dibenarkan KDN. Seperti biasa rakyat Malaysia begitu licik dan kreatif menipu untuk memastikan kegiatan mereka tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

Mengikut Akta Agensi Persendirian 1971, seseorang yang melanggar peruntukan akta ini boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Tetapi apakah KDN mempunyai cukup penguat kuasa untuk mengawalnya?

Bagaimanapun lebih memburukkan lagi apabila tidak semua syarikat perkhidmatan keselamatan swasta mengambil pengawal keselamatan secara sah. Tetapi malangnya ada maklumat mengatakan bahawa lebih 30,000 pengawal keselamatan pendatang tanpa izin (PATI) dilaporkan bertugas sebagai pengawal keselamatan. Kebanyakan PATI yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ialah warga Pakistan, Bangladesh, India, Indonesia dan Myanmar. Tanpa penguatkuasaan, masalah ini akan berleluasa. Jika kita gagal mengawalnya lebih baik kita membuka terus pintu kepada mereka untuk bekerja secara sah.

Penulis mendapati kelemahan sistem pengawal keselamatan di Malaysia sudah lama diperdebatkan dan hingga kini tiada kesudahan. Seorang kawan karib penulis memberitahu seseorang itu bukan pengawal keselamatan jika tidak tidur, tidak datang kerja lambat dan tidak berhutang dengan bosnya. Mereka kelihatan tidak bermaya dan kurang kemahiran menyebabkan tidak kompeten menjalankan tugas dengan baik. Manakala pihak syarikat kawalan tidak boleh berbuat apa-apa kerana bayaran diberikan pelanggan adalah tidak setimpal, iaitu di antara RM6.50 hingga RM8 satu jam bagi setiap pengawal keselamatan.

Kerajaan perlu bertindak

Undang-undang yang sedia ada sudah mencukupi cuma penguatkuasaan yang lemah. Adalah lebih baik jika kerajaan memikirkan jalan supaya pengawal keselamatan ini diisikan oleh rakyat tempatan. Pertama gaji mestilah sesuai dengan kerja, latihan dari semasa ke semasa, dilindungi insurans, dibayar KWSP dan PERKESO serta pengurusan yang lebih profesional.

Kemungkinan besar dengan menaikkan status pengawal keselamatan kepada pegawai penguat kuasa keselamatan mungkin akan menarik masyarakat tempatan menyertai perkhidmatan itu seperti dilakukan di negara Barat. Syarikat kawalan keselamatan juga boleh bekerjasama dengan Persatuan Bekas Perajurit dan polis bagi mengatasi isu berkaitan perkhidmatan dan gaji.

Paling mustahak ialah pengguna perlu bersedia menaikkan pembayaran khidmat syarikat kawalan keselamatan untuk mendapatkan khidmat yang lebih baik dan berkualiti. Penulis berharap satu hari nanti lesen syarikat kawalan keselamatan hanya diberikan kepada golongan profesional yang mempunyai kelulusan seperti Certified Protection Professional (CPP) atau kelulusan dalam bidang pentadbiran keselamatan supaya profesion ini menjadi bertambah maju.

Pihak universiti perlu mengadakan kursus-kursus diploma, ijazah dan sarjana dalam bidang pentadbiran keselamatan ini bagi memantapkan dan dihormati lagi perkhidmatan ini di Malaysia. Kita tidak mahu dengar lagi ungkapan bahawa seseorang itu bukan pengawal keselamatan jika dia tidak tidur, meminjamkan wang dan sentiasa mengambil cuti sakit. Dengan memberi peluang orang tempatan bekerja dalam bidang kawalan keselamatan dapat membasmi kemiskinan, pengangguran, gejala sosial, dadah, jenayah dan pengaliran wang ke luar negara. Bila agaknya kita boleh melakukannya?

Penulis ialah Pengarah Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP