MICROLINK Solutions Sdn Bhd akan meluaskan penggunaan perisian perbankan dimajukannya kepada peranti tablet lain seperti Android dan Samsung Galaxy Tab selepas diperkenalkan pada tablet iPad.

Ketua Eksekutifnya, Peter Yong Kah Seng, berkata aplikasi dimajukan syarikat berkenaan membolehkan semua urusan perbankan kecuali transaksi wang dilakukan di hujung jari.
Katanya, perisian yang baru dilancarkan itu kini digunakan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dan bakal diluaskan kepada pelanggan bank utama lain di Malaysia.

“Sebagai syarikat yang menawarkan perkhidmatan perisian perbankan khususnya perbankan Islam, Microlink sentiasa komited melaksanakan pelbagai penemuan baru bagi membantu pelanggan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

“Fokus kami ialah mempelbagaikan penemuan dan menerapkan nilai inovasi dalam apa saja kaedah atau perisian yang menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pengguna,” katanya kepada Berita Harian, dalam temu bual di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai aplikasi perbankan menggunakan iPad itu, beliau berkata pemilihan peranti itu disebabkan penggunaannya meluas di negara ini berbanding peranti tablet lain.

“Buat masa ini kami menumpukan kepada iPad untuk melihat sejauh mana keberkesanan aplikasi ini yang mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan,” katanya.
Beliau menambah ketika ini beberapa perbincangan juga diadakan dengan beberapa bank terkemuka termasuk RHB, CIMB dan EON Bank yang berminat menggunakan perisian itu.

Mengenai peluasan operasi ke luar negara, Kah Seng berkata syarikat itu pada awalnya pernah ada cawangan di Kuwait tetapi terpaksa ditutup berikutan kemelut ekonomi pada 2008.

“Kami kini hanya mempunyai wakil di sana dan operasi perniagaan di luar negara tertumpu kepada cawangan di Jakarta, Indonesia yang beroperasi sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Operasi di Jakarta itu katanya, bersesuaian dengan kehendak pasaran negara itu yang menyaksikan pembangunan aktif perbankan Islam khususnya dari aspek perniagaan pajak gadai Islam (Ar-Rahnu).

“Jumlah penduduk Islam yang sangat besar di Indonesia iaitu 85.1 peratus daripada populasi rakyatnya mendorong bank di republik itu menawarkan skim perbankan Syariah dan ia membuka peluang kami memasarkan produk secara lebih agresif,” katanya.

“Kami masih belum memiliki pelanggan di sana tetapi menjangkakan hasil positif tahun ini berikutan beberapa perbincangan menyeluruh sedang mengambil proses dengan beberapa pihak yang berpotensi besar,” katanya.