Jamil (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Bin Wu pada majlis memeterai perjanjian kerjasama di Kuala Lumpur, semalam. Jamil (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Bin Wu pada majlis memeterai perjanjian kerjasama di Kuala Lumpur, semalam.
Syarikat China rancang laksana projek kondominium mewah RM2.6b

Kuala Lumpur: Iskandar Malaysia terus rancak menerima kehadiran pelabur asing apabila sebuah syarikat dari China, Qingdao Zhuoyuan Investment Holdings (Zhuoyuan) bercadang melaksana projek kondominium di Medini Iskandar Malaysia.
Projek yang dikenali sebagai Medini International itu memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM2.6 bilion.

Projek pembangunan 2,600 unit kondominium mewah itu akan dimajukan oleh Zhouyuan Iskandar Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama antara Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd dan anak syarikat Zhuoyuan, Square Stone Sdn Bhd.

Medini Iskandar memiliki 20 peratus kepentingan dalam syarikat usaha itu manakala bakinya dikuasai Zhuoyuan.

Zhuoyuan adalah anak syarikat kumpulan hartanah terkemuka berpusat di Beijing, Zhuoda Real Estate Group.

“Projek Medini International di kawasan seluas tujuh hektar akan dimajukan dalam dua fasa dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun.
“Kerja pembangunannya akan bermula pada akhir tahun ini atau awal 2013,” kata Ketua Eksekutif Zhouyuan Iskandar dan Square Stone, Wang Bin Wu.

Beliau berkata demikian selepas majlis memeterai perjanjian kerjasama antara Medini Iskandar dengan Square Stone di Kuala Lumpur, semalam.

Bin Wu memeterai perjanjian itu bagi pihak syarikatnya manakala Medini Iskandar diwakili Pengerusinya, Jamil Muttalib. Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Iskandar Investment Bhd (IIB), Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.