Laman Utama » Rencana

Minda Pengarang: BN kena kuatkan usaha ubah persepsi pengundi Cina



2011/04/18
Share |
KERAJAAN Barisan Nasional (BN) Sarawak, kelmarin kembali membentuk kerajaan negeri selepas berjaya memenangi 55 kerusi atau memperoleh majoriti dua pertiga daripada 71 kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10. Rakyat Sarawak khususnya pengundi bertindak rasional dengan membuat keputusan tepat mengekalkan BN untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Yang jelas rakyat Sarawak tidak termakan dengan hasutan serta pelbagai janji kosong pembangkang untuk menukar kerajaan negeri, terutama sepanjang tempoh 10 hari berkempen. Rakyat Sarawak khususnya kaum Bumiputera terutama di luar bandar dan pedalaman Sarawak tetap yakin hanya BN yang mampu membela nasib mereka dan tidak ada parti lain, apatah lagi pembangkang yang dapat menggantikan BN. Tahniah kita ucapkan kepada semua jentera BN yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan calon mereka yang bertanding. Begitu juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta semua pemimpin negeri yang bekerja keras memastikan kemenangan BN. Kehadiran Perdana Menteri dan timbalannya di hampir semua kawasan di Sarawak dilihat banyak membantu kemenangan BN. Kita percaya rakyat Sarawak melihat komitmen yang tinggi pemimpin Pusat terutama dari Semenanjung untuk terus membantu dan membela nasib rakyat di Bumi Kenyalang ini. Spekulasi yang tersebar kononnya kerajaan BN akan tumbang dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini ternyata meleset dan dilihat sengaja diada-adakan bagi melemahkan semangat jentera BN. Kenyataan Najib bahawa BN mampu menguasai dua pertiga daripada kerusi yang dipertandingkan berjaya menangkis tohmahan pembangkang, apatah lagi Perdana Menteri sendiri berada di bumi Sarawak dan sudah pasti beliau mendapat laporan yang tepat mengenai kekuatan BN.

Apapun, pada pilihan raya negeri kali ini, kita melihat pengundi kawasan bandar yang rata-rata dihuni kaum Cina lebih cenderung memilih pembangkang terutama DAP. Kita percaya ia berpunca daripada isu perkauman dan kedudukan Ketua Menteri yang dikatakan sudah terlalu lama menerajui Sarawak yang dimainkan pembangkang mempengaruhi pengundi.

DAP memenangi 12 kerusi yang dipertandingkan di kawasan majoriti Cina, manakala Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang bertindak sebagai komponen BN mewakili kaum Cina kalah teruk dan hanya memenangi enam kerusi daripada 19 kerusi ditandingi. Justeru, sudah tiba masa BN meneliti senario kenapa pengundi Cina menolak BN, bukan saja di Sarawak, malah di kebanyakan pilihan raya kecil lalu.

Persoalannya, adakah kerana BN tidak cukup membantu kaum Cina atau ia sekadar keyakinan mereka bahawa pembangkang mampu membentuk kerajaan negeri seperti dilakukan DAP di Pulau Pinang dan Selangor dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.
Kita percaya BN dapat merancang strategi lebih berkesan bagi menangani kecenderungan pengundi ini dan tidak terpedaya dengan mainan serta tipu helah pembangkang. Namun, selepas pilihan raya negeri Sarawak berakhir yang lebih penting ialah untuk BN mengotakan semua janji yang dibuat dalam tempoh berkempen, terutama kepada masyarakat Bumiputera Sarawak. Kita percaya kemenangan BN di Sarawak ini akan melonjakkan lagi semangat seluruh jentera BN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

Artikel Lain