Laman Utama » Rencana
Minda Pengarang: Calon, penyokong parti perlu amal ketertiban sepanjang berkempen
BUAT pertama kali dalam sejarah, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10 pada 16 April ini menyaksikan pertandingan di semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 213 calon mengemukakan kertas pencalonan mereka kelmarin. Untuk pertama kalinya juga, dalam tempoh 24 tahun tiada satu pun kerusi dimenangi mana-mana parti tanpa bertanding. Barisan Nasional (BN) yang meletakkan calon di semua kerusi akan berdepan dengan calon parti pembangkang, terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di 49 kawasan, 15 calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), 26 calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), enam calon Parti Cinta Malaysia (PCM) dan lima calon PAS. Apa yang menarik pilihan raya kali ini ialah kegagalan parti pembangkang mengelakkan pertembungan antara satu sama lain, menyebabkan PKR dan SNAP, masing-masing meletakkan calon di 25 kawasan. PRN Sarawak kali ini dianggap penting oleh semua parti kerana apa jua keputusannya, ia dapat dijadikan kayu pengukur dan petanda awal kepada sokongan terhadap parti politik di negara ini menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi. Sebagai parti yang sudah lama memerintah Sarawak dengan cemerlang, BN dijangka terus memperoleh sokongan besar berikutan kejayaan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Sepanjang karier politiknya selama 30 tahun, Abdul Taib berjaya membawa banyak pembaharuan dan perubahan bagi kemakmuran rakyat di Bumi Kenyalang ini.
Justeru, tiada sebab untuk rakyat terpedaya dengan dakyah politik pembangkang sepanjang tempoh berkempen selama 10 hari. Abdul Taib sendiri yang mengetuai pilihan raya itu, dijangka mampu mempertahankan kerusi DUN Balingian walaupun menghadapi tentangan daripada dua sepupunya dan seorang ahli perniagaan wanita. Sokongan pengundi Cina kepada calon BN dalam pilihan raya kecil Batu Sapi, Sabah tahun lalu dan Tenang, Johor baru-baru ini juga satu petanda bahawa masyarakat Cina akan kembali menyokong calon komponen BN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang menghadapi tentangan DAP di 15 kawasan, termasuk tiga kerusi ‘panas’ di Pending, Kota Sentosa dan Padungan. Sebaik tempoh penamaan calon tamat, bermulalah kempen pilihan raya secara rasmi bagi menarik sokongan pengundi. Semua pihak diharapkan dapat mengekalkan suasana aman seperti yang dilaporkan pada hari penamaan calon kelmarin. Ini adalah kerana pilihan raya hanya satu proses dalam sistem demokrasi bagi memilih pemimpin untuk membentuk kerajaan yang sah. Sebarang bentuk kekacauan sudah tentu akan mengganggu proses itu. Jagalah peraturan dan etika serta hentikan perbuatan menabur fitnah kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Gunakan kesempatan berkempen untuk mengetengahkan pandangan parti masing-masing kepada pengundi secara bertanggungjawab. Oleh kerana BN bertanding di semua kawasan, pengundi hendaklah berwaspada agar tidak terkeliru dengan mereka yang bertanding atas tiket lain selain BN yang cuba meraih undi dengan mengaku sebagai ‘calon mesra BN’. Seperti ditegaskan Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, BN tidak mengiktiraf mana-mana calon lain kerana sudah meletakkan calonnya sendiri di setiap kawasan. Apapun, keyakinan yang semakin meningkat terhadap BN berikutan dasarnya yang mesra rakyat berjaya mengembalikan semula minat pengundi kepada parti komponennya. Kita percaya rakyat di Sarawak akan membuat penentuan dengan bijak dan tidak memperjudikan masa depan mereka dengan memilih pembangkang kerana kemampuan BN sudah terbukti dan dapat membawa kemakmuran serta kesejahteraan kepada semua kaum dan golongan di negara ini.