Laman Utama » Rencana

Minda Pengarang: Ceramah pilihan raya di Sarawak harus peka sensitiviti penduduk



2011/04/06
Share |
PENAMAAN calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10 berlangsung hari ini. Serentak itu kempen bagi merebut 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan bermula untuk selama 10 hari, sebelum menjelang hari pengundian 16 April ini. Barisan Nasional (BN) Sarawak yang terdiri daripada empat parti komponen – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) sudah mengumumkan semua 71 calonnya, termasuk bagi kerusi DUN Ba’Kelalan. Begitu juga parti pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding di 48 kerusi, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) 27 kerusi, DAP (15), manakala PAS (5). Semua ada 90 calon pembangkang dan ini belum termasuk penyertaan calon Bebas dan Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB) yang pendaftarannya belum diluluskan Pendaftaran Pertubuhan tetapi akan bertanding atas tiket Bebas di enam kawasan. Malangnya, kerjasama pembangkang tidak menjadi dan retak pada saat akhir, gara-gara tiada persefahaman antara PKR dan SNAP mengenai pengagihan kerusi untuk ditandingi.

Pada mulanya, gabungan PKR, SNAP, PKR dan PAS mahu meletakkan calon satu lawan satu dengan BN di setiap kerusi tetapi kemuncak perselisihan itu berlaku kelmarin apabila PKR mengumumkan senarai penuh 48 calonnya, sekali gus menyaksikan pertindihan berlaku di 25 kerusi – yang pasti menemukan kedua-dua calon PKR dan SNAP menyerahkan borang pencalonan di tempat sama hari ini. Daripada 25 kerusi itu, sekurang-kurangnya enam kerusi DUN dijangka menyaksikan pertandingan empat penjuru kerana pembabitan calon Bebas tajaan PERSB. SNAP sebenarnya adalah parti kedua tertua di Sarawak yang ditubuhkan pada 1961, selepas penubuhan SUPP pada 1959. Mungkin berasaskan hakikat ini, SNAP berasakan ia lebih layak bertanding lebih banyak kerusi berbanding PKR, bukan tiga kerusi seperti pada awalnya mahu diberi kepada SNAP – yang dianggap pemimpinnya sebagai satu penghinaan. PKR adalah parti berasal dari Semenanjung dengan matlamat perjuangannya berbeza, serta kurang meyakinkan rakyat Sarawak berbanding parti yang dilahirkan di Bumi Kenyalang itu sendiri. Apapun, biar rakyat Sarawak sendiri membuat pilihan, sama ada mahukan BN atau pembangkang. Kita percaya pelbagai isu akan dibangkitkan oleh setiap calon parti yang bertanding sepanjang kempen berlangsung. BN dijangka akan terus melaungkan rekod perkhidmatan cemerlangnya mentadbir Sarawak selama ini sebagai modal kempen. Kita akui masih banyak kawasan di Sarawak, yang luasnya hampir sama dengan Semenanjung, memerlukan pembangunan dan bukan sesuatu yang mudah bagi kerajaan membawa pembangunan ke seluruh ceruk negeri, apatah lagi keadaan geografi dengan muka buminya bergunung-ganang. Namun, kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selama ini berusaha membawa sebanyak mungkin pembangunan bagi faedah rakyat. Kita tidak hairan apabila pembangkang akan menuduh kerajaan tidak membawa pembangunan untuk rakyat kerana bukan mudah membangunkan kawasan yang begitu luas. Kerajaan secara berterusan sudah membawa kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air untuk seluruh rakyat. Oleh itu, apabila dipilih nanti, setiap wakil rakyat perlu menyalurkan segala permintaan untuk projek pembangunan dan rakyat juga perlu rasional bahawa kerajaan BN ‘bukan kerajaan ajaib’ yang boleh membawa pembangunan dalam sekelip mata. Sewajarnya setiap penceramah, termasuk dari Semenanjung yang memulakan kempen hari ini, perlu peka dengan sensitiviti penduduk tempatan dan jangan menimbulkan isu yang boleh menimbulkan ketegangan, sekali gus merosakkan keharmonian kaum yang dinikmati selama ini.
Artikel Lain