login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
6:10
13:29
16:47
19:29
20:39
SMS waktu solat
... kawasan lain
Khamis , 23 Februari 2012
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
Rencana
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Minda Pengarang: Kaji punca kemerosotan pelajar sains sebelum beri elaun khas


2012/02/01

KEMEROSOTAN bilangan pelajar jurusan sains di institusi pengajian tinggi (IPT) bukan perkara baru. Permasalahan itu berpunca sejak di sekolah lagi dan ada tiga sebab utama mengapa masalah itu berlaku iaitu kurang minat, tanggapan subjek sains susah dan prospek kerjaya yang terhad. Apa yang membimbangkan ialah ketiga-tiga faktor yang berakar umbi sejak di sekolah menengah itu menyebabkan bilangan pelajar sains peringkat universiti turut merosot dengan ketara. Sekiranya sekolah gagal membekalkan pelajar sains diperlukan, ia boleh menjejaskan matlamat kerajaan mencapai sasaran nisbah 60 peratus pelajar sains dan 40 sastera di universiti. Kekurangan graduan cemerlang dalam jurusan sains pula akan membantut matlamat kerajaan yang memerlukan modal insan berkepakaran dalam bidang berkenaan kerana merekalah penentu untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020. Bagi menangani masalah itu, cadangan dikemukakan Majlis Profesor Negara (MPN) kelmarin supaya kerajaan memberikan elaun bulanan sekurang-kurangnya RM200 setiap bulan kepada pelajar sains adalah antara opsyen yang boleh ditimbangkan tetapi kita berpendapat ia bukanlah jalan penyelesaian terbaik. Cadangan itu memerlukan kajian mendalam kerana ia bukan saja membabitkan peruntukan tinggi, malah kita khuatir ia boleh mencetuskan masalah lain di kalangan pelajar.

Apakah dengan pemberian wang kita mampu menarik minat dan kecenderungan pelajar untuk mengikuti jurusan sains? Kita bimbang langkah itu akan mewujudkan amalan diskriminasi di kalangan pelajar aliran sains dan sastera, terutama yang cemerlang. Cadangan itu juga dibimbangi akan melahirkan generasi manja, lemah dan tidak mempunyai jati diri. Pemberian ganjaran kepada semua pelajar tanpa mengira cemerlang atau sebaliknya boleh dianggap merendahkan moral individu berkenaan walaupun niat asalnya baik iaitu sebagai dorongan supaya memilih bidang lebih mencabar. Cadangan MPN itu berbeza dengan pemberian biasiswa kerana penerima biasiswa dipilih berdasarkan merit dan diberi kepada pelajar cemerlang serta berkelayakan. Sekiranya cadangan itu mahu dilaksanakan, suatu mekanisme perlu diwujudkan bagi menentukan kriteria pelajar yang layak seperti menggunakan sistem meritokrasi atau mewajibkan pelajar menduduki peperiksaan khas. Apa pun, satu kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kemerosotan pelajar sains. Jika pasaran kerjaya terhad menjadi punca, kerajaan harus mengambil langkah memastikan pelajar sains mendapat jaminan pekerjaan apabila tamat pengajian.


SERTAI KAMI DI FACEBOOK
Artikel Lain
iklan iklan
iklan

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker