Laman Utama » Rencana

Minda Pengarang: Kempen pembangkang dibimbangi gugat keharmonian kaum



2011/04/12
Share |
KETIKA hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 Sabtu ini berbaki lima hari lagi, kempen parti yang bertanding semakin rancak dan panas. Pemimpin tertinggi parti serta calon yang bertanding sama ada mewakili Barisan Nasional (BN), pembangkang dan Bebas menggunakan kesempatan yang masih ada untuk bertemu seramai mungkin pengundi. Mereka membangkitkan pelbagai isu bagi mempengaruhi rakyat sambil menabur pelbagai janji jika menang. Sebagai negara mengamalkan prinsip demokrasi, memang tidak salah bagi sesiapa saja menyuarakan pendapat, termasuk menabur janji tetapi janji itu biarlah munasabah dan mampu direalisasikan. Parti yang bertanding juga harus lebih bertanggungjawab dan mengelak daripada membangkitkan isu sensitif, terutama yang menyentuh soal keagamaan sesuatu kaum kerana ia boleh mencetuskan kemarahan rakyat. Dalam hubungan ini, kita kesal apabila pihak pembangkang menggunakan isu Injil bagi meraih sokongan pengundi, pada hal isu itu sebenarnya tidak mendapat perhatian masyarakat di Sarawak. Ternyata pembangkang seolah-olah mahu melaga-lagakan masyarakat di Sarawak yang selama ini mengamalkan sikap toleransi, hidup bersama tanpa perasaan prejudis.

Pembangkang langsung tidak mempedulikan sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri itu. Mereka juga seperti tidak mempedulikan kepentingan rakyat Sarawak secara keseluruhannya, sebaliknya mengutamakan kepentingan politik sempit mereka. Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, ternyata bimbang dengan perkembangan ini kerana ia boleh mencetuskan curiga antara kaum dan tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat di Bumi Kenyalang. Taib yang bimbang dengan cubaan pihak tertentu untuk melaga-lagakan masyarakat berbilang agama di Sarawak khususnya berhubung isu kitab Injil sudah tentu tidak mahu rakyat termakan dengan dakyah pembangkang dalam isu ini. Dakwaan mereka kononnya kitab itu dihalang memasuki Sarawak dan Semenanjung tidak sepatutnya menjadi isu besar kerana ia diputarbelitkan oleh pemimpin pembangkang ketika berkempen. Kita percaya kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah sewajarnya agar isu kebenaran membawa masuk kitab Injil ini, terutama berbahasa Melayu ke negara ini dapat diselesaikan secara baik dan tidak menimbulkan kemarahan serta salah faham penganut agama lain. Membincangkan perkara sensitif secara terbuka, apatah lagi di pentas politik amat tidak bertanggungjawab. Semua pihak sepatutnya sedar dan insaf mengenai kesan yang boleh tercetus jika membangkitkan perkara sensitif, terutama berkaitan agama tanpa mengikut saluran yang betul. Masyarakat di negara ini, khususnya di Sarawak sejak sekian lama hidup aman damai serta harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai etnik dan suku kaum. Rakyat Sarawak sentiasa meletakkan keharmonian, keamanan dan toleransi kaum pada tempat paling atas dan budaya ini menjadi contoh kepada masyarakat di negeri lain. Namun, kita bimbang apabila ada pihak, terutama pembangkang cuba menghakis serta mengganggu-gugat amalan dan budaya berkenaan. Pembangkang sebaliknya, membawa budaya caci-mencaci dan maki-hamun sepanjang berkempen atas nama kebebasan bersuara dan kepentingan politik sempit. Kita percaya rakyat Sarawak dapat melihat dan menilai sendiri budaya negatif cuba dibawa pembangkang. Kita berharap rakyat Sarawak tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sanggup menjanjikan apa saja semata-mata bagi mencapai matlamat politik mereka.
Artikel Lain