Buat permulaan, 24 dana diuruskan oleh enam daripada lapan penyedia SPS yang diluluskan, akan ditawarkan di bawah skim itu mulai September depan.
Bagi mereka yang bekerja sendiri, keadaan akan menjadi lebih teruk jika tiada simpanan untuk hari tua. Tanpa jaminan kewangan dan kesihatan yang baik, kehidupan pada usia persaraan menjadi lebih mencabar. Oleh itu penubuhan SPS menjadi satu alternatif kepada simpanan hari tua selepas persaraan.
Bagi menjayakan skim ini dan pembabitan menyeluruh golongan terbabit, mereka perlu diberi penjelasan terperinci kerana SPS adalah inisiatif baru. Kempen penerangan perlu dipergiatkan menerusi pelbagai saluran termasuk media massa dan media baru. Majikan sektor swasta juga memerlukan penjelasan mengenai caruman tambahan secara sukarela untuk kakitangan mereka.
Mereka tentunya ingin mengetahui mengenai manfaat yang bakal diperoleh apabila secara sukarela membuat caruman tambahan SPS untuk pekerjanya. Kempen dan penerangan berterusan akan memberi impak lebih besar kepada SPS bagi menjamin kesejahteraan hidup masa depan pekerja. Kita percaya, sama ada kakitangan swasta mahu pun pekerja persendirian menyambut baik usaha kerajaan ini demi kelangsungan hidup hari tua mereka dan keluarga.
