Keadaan keselamatan di Syria semakin terancam apabila perang secara terbuka berlaku di dua kota besar, iaitu di Damsyik dan Aleppo menyebabkan 140 maut, Sabtu lalu. Angka kematian dan keganasan yang meningkat mendorong Malaysia mengambil keputusan membawa pulang rakyat dari negara bergolak sejak 16 bulan lalu. Ketika ini ada 138 rakyat Malaysia, iaitu 128 penuntut dan 10 ekspatriat di Syria, manakala berpuluh-puluh yang lain sudah keluar sejak beberapa minggu lalu.

Semua rakyat Malaysia akan dikeluarkan menerusi jalan udara menggunakan pesawat syarikat penerbangan yang masih beroperasi dari Damsyik. Mereka dipindahkan ke Dubai, Abu Dhabi dan Doha sebelum dibawa pulang. Proses pemindahan diselaraskan Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.
Pergolakan yang berlaku di Syria sekarang bukan sekadar protes menjatuhkan seorang pemimpin untuk digantikan dengan kelompok lain, malah ia sudah menjadi perangkap kepentingan kuasa besar yang terus mencaturkan Asia Barat dan utara Afrika sebagai medan rebutan pengaruh dan kepentingan ekonomi. Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Barat melihat Syria sebagai sekutu rapat Iran yang boleh menjejaskan kepentingan mereka di negara Teluk. Kepentingan Zionis dan Israel tentunya diambil kira kerana Barat memerlukan cengkaman lebih kukuh di kawasan telaga minyak itu.

Dua keputusan dibuat Russia dan China yang membantah tindakan ketenteraan pada sidang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuktikan dua kuasa besar itu berpihak kepada rejim Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad. Tidak mustahil tangan ghaib kuasa besar berada di sebalik pergolakan yang sudah mengorbankan lebih 17,000 rakyat Syria. Akibatnya perang saudara dan suasana tidak stabil akan berkekalan. Tiada jaminan perang akan berhenti dalam masa terdekat.

Justeru, tindakan Malaysia mengarahkan rakyat keluar dan penutupan kedutaan besar di Damsyik tepat pada waktunya. Kita kesal perang merebak di Syria sejak Khamis lalu ketika umat Islam di seluruh dunia bersiap sedia untuk menyambut ketibaan Ramadan yang mulia. Lebih menyayatkan hati apabila hari pertama berpuasa, pertumpahan darah merebak ke Aleppo, bandar kedua terbesar di Syria. Malang sekali mereka tidak menjadikan Ramadan sebagai detik bermuhasabah.