ARTIKEL terbitan terbaru majalah Forbes Asia bertajuk The Malaysian Third Way: A Public-Private Partnership versi laman web Forbes di http://www.forbes.com/sites/forbesasia/2012/05/22/the-malaysian-third-way-a-public-private-partnership/
KUALA LUMPUR: Laluan Malaysia sebagai kerajaan progresif dengan kerjasama sektor swasta yang rancak telah memperkasakan negara ke arah mencapai matlamatnya dan membantu mewujudkan kehidupan lebih baik untuk rakyatnya, kata Michael J Hershman, pengasas bersama Transparency International.
"Tidak seperti kebanyakan ahli politik lain yang terlupa dengan janji kempen mereka, Najib meminta untuk dihakimi dan bertanggungjawab ke atas akauntabiliti bagi perkembangan yang beliau sudah, atau tidak, laksanakan."
Michael J Hershman,
pengasas bersama Transparency International
Bekas pegawai penyiasat kanan dalam Jawatankuasa ‘Watergate’ Senat Amerika Syarikat (AS) dan perunding kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) yang dipertanggungjawabkan untuk membina strategi negara memerangi rasuah, Hershman berkata, perdebatan di Malaysia antara mereka yang mahukan kerajaan dan mereka dalam sektor swasta yang percaya kemakmuran serta pewujudan pekerjaan boleh berlaku dengan kurang kerajaan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
“Ia berlaku di seluruh dunia – di AS, Kesatuan Eropah (EU) dan pada pilihan raya presiden Perancis baru-baru ini, dan seluruh negara di Asia dan Lembangan Pasifik,” kata beliau.
Bagaimanapun, Hershman berkata adalah jelas rumusan ataupun penyelesaian akhir ialah bukan pergantungan sepenuhnya kepada kerajaan mahupun kepada sektor swasta, tetapi sebaliknya, laluan cara ketiga – perkongsian awam-swasta untuk membawa kemakmuran dan perkembangan ekonomi kepada rakyat.
Itulah model, yang sejak beberapa tahun lalu, perdana menteri ikuti untuk melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP), kata beliau.
“Sejak beberapa tahun lalu, saya bertindak sebagai ahli kepada Panel Penilai Antarabangsa Malaysia yang diwujudkan untuk meneliti keputusan kedua-dua GTP dan ETP, dan saya melihat sendiri perkembangan sebenar sudah pun dibuat.
“Tidak seperti kebanyakan ahli politik lain yang terlupa dengan janji kempen mereka, Najib meminta untuk dihakimi dan bertanggungjawab ke atas akauntabiliti bagi perkembangan yang beliau sudah, atau tidak, laksanakan.
“Dalam kata lain, beliau mahukan kad laporan – dan lagi bagus, beliau mahukan semua orang turut saksikan. Dan mereka ikut. Sesungguhnya, beliau bersedia untuk dihakimi oleh penentu akhir akan kejayaan ataupun kegagalan dalam demokrasi: iaitu pengundi untuk negara beliau,” tulisnya.
Ketika Najib memulakan ETP setahun yang lalu, Hershman berkata Perdana Menteri menetapkan matlamat khusus untuk dicapai menjelang 2020 – iaitu untuk mentrans-formasikan Malaysia menjadi negara pembangunan lebih tinggi dengan pendapatan perkapita sekurang-kurangnya AS$15,000 dan untuk menarik serta menyalur AS$444 bilion dalam kebanyakan pelaburan swasta.
Ia untuk melepaskan Malaysia daripada perangkap ‘pendapatan sederhana’ dan kelembapan ekonomi yang ia telah alami dalam tahun kebelakangan ini.
Konsisten dengan gabungan ‘cara ketiga’ kerajaan dan kepemimpinan pasaran swasta, beliau beralih kepada seorang menterinya, Datuk Seri Idris Jala, bekas ketua eksekutif Penerbangan Malaysia yang berjaya, untuk menerajui ETP. – BERNAMA