login|daftar
BH Facebook Komuniti ↓
WAKTU SOLAT Kuala Lumpur
SUBUH
ZUHUR
ASAR
MAGHRIB
ISYAK
 
SMS waktu solat
... kawasan lain
Jumaat , 01 Ogos 2014
bullet Set BH sebagai Laman Utama bullet Arkib Berita : Seminggu | Sejak 1991
PILIHAN ENJIN CARIAN
BH TwitterBH Facebook
BMdua
Cetak Artikel Cetak . E-mel Rakan Emel Rakan .

Mudik lebaran
Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my
2011/08/28

  
  • Foto

  • Foto

    Bukan saja beg pakaian, pelbagai barangan elektrik dan kelengkapan rumah turut dibawa mudik ke kampung di satu pelabuhan di Indonesia.

  • Foto

    Penunggang motosikal di Indonesia bersesak mudik ke kampung.

  • Foto

    Keadaan rakyat Bangladesh yang pulang dengan menaiki kereta api.

Jutaan bersesak pulang di Indonesia, Bangladesh dan Pakistan

DALAM tempoh beberapa hari lagi menjelang Aidilfitri, pasti ramai yang sibuk membuat persiapan akhir. Tidak kiralah membeli-belah pakaian, perhiasan diri serta kelengkapan kediaman, pasti ada saja sentuhan yang perlu dilakukan bagi memastikan kehadiran hari nan mulia itu disambut ceria.
Pada masa sama, pastinya sudah ramai yang memulakan perjalanan pulang ke kampung. Bagi yang belum, timbul keresahan kerana perlu bersesak di stesen bas dan kereta api manakala yang memandu pasti pening memikirkan deretan kenderaan yang mengiringi perjalanan pulang ke destinasi.
Kesempatan mereka menyubur dan menguatkan kembali hubungan kekeluargaan selepas sekian lama berjauhan atas faktor mencari rezeki atau menuntut. Disebabkan kepentingannya, ramai yang sanggup berebut-rebut di stesen kereta api, membonceng motosikal dan menaiki bot untuk sampai ke destinasi kampung halaman.
Namun anda pasti berasa sedikit lega andai mengetahui apa yang dialami itu masih kecil berbanding negara Islam lain. Bayangkan betapa traumanya jika anda terpaksa berasak-asak, mencelah dan mengharungi bukan ratusan, malah ribuan orang pada satu-satu masa? Bukan saja di jalan raya, malah di stesen kereta api serta pelabuhan yang berlanjutan sehingga berjam-jam lamanya.

Inilah fenomena mudik lebaran yang sudah menjadi sebahagian keunikan menyambut Syawal di Indonesia - negara paling ramai penduduk Islam di dunia sehinggakan kesesakannya jelas ketara di jalan raya, stesen kereta api, jeti dan pelabuhan yang menjadi perantara membawa perantau pulang beraya bersama keluarga. Di negara ini yang berpenduduk 237 juta orang, hampir 90 peratus atau 202 juta penduduknya, beragama Islam. Angka itu saja sudah cukup untuk memberikan gambaran tepat betapa ‘hebatnya’ fenomena mudik ini.

Malah, untuk tahun ini saja, seramai 15 juta penduduk negara paling ramai umat Islam di dunia itu, mudik lebaran sepanjang tempoh seminggu lalu. Apa istimewanya mudik ini yang tidak ubah seperti pesta perantau? Mengikut laporan media tempatan, fenomena mudik lebaran itu sememangnya amalan tradisi bagi keluarga Indonesia, terutama ketika sambutan Aidilfitri.

Ada beberapa sebab mengapa mudik menjadi suatu kemestian kepada rakyatnya iaitu sudah menjadi kewajipan bagi mereka bertemu ahli keluarga dan saudara mara yang tinggal berjauhan. Semua ahli keluarga akan berkumpul bersama di rumah ibu bapa di hari raya Aidilfitri atau di rumah ahli keluarga paling tua di dalam keluarga andai ibu bapa sudah tiada.
Selain itu, ia turut menjadi kesempatan mereka menyubur dan menguatkan kembali hubungan kekeluargaan selepas sekian lama berjauhan atas faktor mencari rezeki atau menuntut. Disebabkan kepentingannya, ramai yang sanggup berebut-rebut di stesen kereta api, membonceng motosikal dan menaiki bot untuk sampai ke destinasi kampung halaman.

Jangan terkejut andai anda melihat bukan saja beg pakaian, tetapi kotak besar pelbagai peralatan elektrik dan kelengkapan rumah turut dibawa bersama sebagai hadiah atau tanda mata lebaran yang mahu dikongsi bersama insan tersayang.

Pengerusi Persatuan Pengangkutan Indonesia (MTI), Danang Parikesit, dipetik media tempatan, berkata, kira-kira 2.5 juta rakyat Indonesia pulang ke kampung menggunakan motosikal tahun ini.

“Jumlah itu peningkatan sebanyak tujuh peratus daripada jumlah 2.3 juta tahun lalu. Dianggarkan kira-kira 1 juta rakyat akan mudik melalui jalan laut manakala 2.4 juta dijangka memilih kapal terbang.

Kira-kira 2.9 juta rakyat pula dijangka mudik menaiki kereta api berbanding 3.1 juta tahun lalu. Penurunan bilangan penumpang adalah disebabkan kekurangan tiket yang dijual tahun ini. Bukan setakat aspek orang ramai, malah pihak berkuasa juga terpaksa bekerjasama dengan pasukan tentera bagi menyediakan kapal membawa motosikal dari destinasi Jakarta ke Jawa Tengah.

Keadaan sama turut dilaporkan di Pakistan yang mana kereta api turut menjadi pengangkutan utamanya. Di negara Islam ini, lebih 60 juta rakyatnya menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu setiap tahun dengan kira-kira tujuh juta pulang ke kampung bersempena cuti Syawal, mulai awal minggu ini.

Senario bersesak itu turut dialami di Bangladesh apabila 1.2 juta penduduknya pulang beraya menerusi bot dan feri. Namun di negara ini yang majoriti penduduknya beragama Islam, kesesakan itu lebih ketara ketika sambutan Aidiladha.

Selain fenomena mudik atau pulang beraya, aspek persiapan yang turut diberi perhatian oleh warga Muslim di serata dunia adalah soal penampilan diri yang menyebabkan ramai membeli-belah di hari-hari terakhir.

Di Afghanistan misalnya, kehadiran Aidilfitri disambut golongan lelakinya yang mempersiapkan diri dengan bercukur serta turut membeli cincin bertatahkan batu permata sebagai pelengkap ketrampilan. Tidak hairanlah di jalan raya sekitar Kabul, deretan kedai cukur, termasuk kedai cukur segera di kaki lima menjadi tumpuan ramai.

Di negara Arab yang lebih berkemampuan statusnya, sudah pasti aspek perhiasan diri seperti emas, bukan satu masalah bagi penduduknya. Tidak hairanlah kedai emas di Dubai, Emiriah Arab Bersatu misalnya, menjadi tumpuan golongan kaya yang mahu memastikan ahli keluarga perempuan mereka tampak berseri dengan perhiasan diri berkenaan.

Keunikan lain perhiasan diri sempena Aidilfitri ini adalah berinai. Jika berinai lazimnya dikaitkan dengan pengantin baru, wanita Muslim di negara Asia Selatan seperti Bangladesh, Pakistan, India sehinggalah ke negara-negara Arab, menganggapnya antara kemestian. Bukan saja di telapak tangan, di lengan dan kaki ibarat kanvas pelbagai corak hiasan inai daripada yang berusia kanak-kanak sehinggalah yang bergelar nenek.

Di Islamabad, Pakistan, lokasi bazar Aabpara dan pusat perdagangan Saddar, sarat dengan jualan inai segera manakala kedai persolekan dipenuhi mereka yang mahukan khidmat hiasan inai.

Selain penampilan diri, bagi warga Arab Saudi dan di Iraq misalnya, antara barangan wajib dibeli adalah coklat dan pelbagai jenis manisan. Timbunan besar coklat yang dihias menarik di kompleks beli-belah dan kedai serbaneka adalah pemandangan biasa di Riyadh - ibu negara Arab Saudi. Manisan ini dijadikan sebahagian hadiah ketika mengunjungi keluarga dan rakan.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai iklan teks, hubungi muzainy@mediaprima.com.my untuk maklumat lanjut.

Peta Laman

Hak Cipta Terpelihara 2012 - Berita Harian - The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad Emel kami sebarang maklumbalas.
Resolusi paparan terbaik untuk laman web ini adalah 1024 x 768 tracker

Kembali ke atas