MUSA menanam pokok banjutan ketika merasmikan program menanam 1,000 pokok di Taman Hutan Hujan Sandakan di Jalan Kebun Cina, dekat sini, semalam.
Semua jentera BN berjalan lancar hasil kesepakatan pemimpin parti komponen
SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman semalam menafikan desas-desus bahawa ada beberapa bilik gerakan Barisan Nasional (BN) ditutup dan jentera pilihan raya BN bergaduh kerana berebut jawatan.
Sebaliknya beliau menegaskan, semua jentera berkenaan berjalan lancar hasil kesepakatan pemimpin parti komponen BN menyusun gerak kerja kempen dari rumah ke rumah, selain memastikan poster dan bendera dipasang, bukannya disimpan.
Musa yang juga pengarah pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, berkata beliau tidak menerima laporan daripada penyelaras daerah mengundi mengenai sebarang bilik gerakan ditutup dan ada anggota jentera terbabit bergaduh.
“Itu cuma cakap-cakap orang saja. Mungkin ada orang yang tidak senang dengan kelancaran jentera BN. Semua mesti kerja kuat. Jangan duduk rehat saja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program menanam 1,000 pokok di Taman Hutan Hujan Sandakan di Jalan Kebun Cina, dekat sini, semalam.
Program anjuran Bank Standard & Chartered itu bertujuan meningkatkan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar melalui penanaman pokok.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup; Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Manan dan Pengarah Urusan bank berkenaan, Osman Morad.
Sehubungan itu, Musa sekali lagi mengingatkan jentera pilihan raya BN supaya memastikan tiada masalah yang tidak mampu diselesaikan menjelang hari mengundi 4 November ini.
Beliau mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu bukan setakat di kalangan jentera pilihan raya pembangkang, malah parti komponen BN bahawa ada bilik gerakan BN ditutup selepas pihak yang diberikan tanggungjawab melaksanakan tugas di daerah dan peti undi masing-masing bergaduh.
Sementara itu, mengulas kenyataan calon Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee bahawa beliau tidak menjual beratus-ratus hektar tanah kerajaan negeri ketika memegang jawatan Ketua Menteri, Musa berkata, beliau akan memberi kenyataan lanjut tidak lama lagi.
“Saya akan bercakap mengenainya kemudian,” katanya.
Kelmarin, ketika berucap pada program Mengkoperasikan Rakyat Wilayah Sandakan di Sekolah Kebangsaan Karamunting, di sini Musa mendakwa Yong menjual beratus-ratus hektar tanah kepada syarikat swasta yang disifatkannya sebagai kroni ketika Presiden SAPP itu menerajui kerajaan negeri selama tiga tahun, mulai 1996.