Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, beliau juga bersedia bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Jeli saja yang disandangnya jika dikehendaki oleh pucuk pimpinan parti.
Mustapa pernah bertanding bagi dua kerusi iaitu Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas pada pilihan raya umum 1999 dan menang kedua-dua kerusi berkenaan.
"Yang penting sekarang saya akan terus berjuang bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum kelak," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan perkembangan terkini, BN mempunyai peluang mencapai kemenangan sekurang-kuranya 23 kerusi daripada sejumlah 45 DUN di Kelantan.
"Kalau semua pihak sanggup kerja kuat bersama saya tanpa ada sabotaj tidak mustahil BN dapat memenangi 30 kerusi," katanya.
Mustapa berkata, UMNO Pasir Puteh berpotensi memenangi keempat-empat kerusi DUN iaitu Limbongan, Semerak, Gaal dan Selising berasaskan semakin ramai anggota PAS dan kumpulan atas pagar menyertai BN.
Katanya, gandingan golongan muda, veteran UMNO dan mereka yang mempunyai pendidikan agama akan dipilih bertanding pada pilihan raya yang dijangka diadakan tidak lama lagi. - BERNAMA



