• Album: Suara Yang Ku Dengar
  • Artis: Shanon Shah
  • Genre: Pop Estetika
  • Edaran: Interglobal Music


MELUNCURKAN album pertama sekitar lima tahun lalu, Shanon Shah mencuri perhatian khalayak apabila meraih trofi Persembahan Vokal Lelaki Terbaik, Anugerah Industri Muzik 2006 menerusi produksi Dilanda Cinta.

Selepas mencipta laluan awal yang selesa Shanon bagaikan menghilangkan diri. Memfokus perhatian sebagai penulis dan pada masa sama, berdikit-dikit Shanon mencipta lagu untuk menyiapkan produksi keduanya ini.
Suara Yang Ku Dengar dipasarkan ketika Shanon berada di London, United Kingdom bagi melanjutkan pengajiannya di sana.

Dorongan daripada pengarah filem Karaoke, Chris Chong membawa semula Shanon ke arena penulisan lagu. Menyusul beberapa lagu lain selepas itu, Suara Yang Ku Dengar akhirnya lengkap dengan 10 lagu diterbitkan bersama Ariff Akhir.

Berbeza Dilanda Cinta yang barangkali cuma mampu memaut hati sekelompok peminat, Suara Yang Ku Dengar menyerlahkan dimensi berbeza pada ritma yang dibawakan Shanon.

Produksi ini lebih kental nuansa pop dan mesra radio. Shanon barangkali tidak akan melalui laluan sukar untuk mengetengahkan kekuatan lagu ciptaannya yang jelas memiliki identiti tersendiri.

Sebagai penulis lagu, Shanon kreatif meletakkan destinasi yang ingin dicapainya. Anak kelahiran Kedah ini matang mencari identiti muzik yang bersesuaian dengan alunan vokalnya yang dibaluti elemen klasik.
Seawal trek pertama, Jika Kau Tahu, khalayak dibawa untuk menghayati sentuhan ringan bersama alunan vokal Shanon yang lunak dan manis.

Ritma yang sama turut dirasai khalayak pada trek kedua, Tak Perlu Takut. Seterusnya, Shanon membawa pendengar menikmati sentuhan lebih berat tetapi sarat mesej positif terutama pada beberapa trek terakhir album ini.

Tidak membiarkan album ini berjalan mendatar, Shanon turut mengalunkan ritma sederhana pantas menerusi Sejak Kau Kembali dan Jangan Nafikan Bukti.

Memberikan sedikit sentuhan kelainan, Shanon turut mencipta sebuah lagu nasyid, Marilah Berhajat. Bagaimanapun, Shanon tidak membawa sesuatu yang luar biasa pada ciptannnya itu.

Marilah Berhajat masih mengikut acuan nasyid tradisional. Lagu itu diangkat sebagai latar kepada filem Karaoke.

Produksi ini menjanjikan kepuasan kepada pendengar yang cuba mencari dimensi berbeza daripada ritma pop konvensional yang mendominasi pasaran dewasa ini.
Cuma Suara Yang Ku Dengar akan menjadi lebih baik jika produksi ini diawasi oleh penerbit berpengalaman untuk memastikan aliran dibawa tidak tersasar.