NTC serah kuasa kepada kerajaan baru Pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil (kiri), Presiden Mahkamah Agung, Kamal Edhan (tengah) dan Pengerusi Kongres Awam Kebangsaan, Mohammad Ali Sulayem, merasmikan penyerahan kuasa kepada pentadbiran baru di Tripoli. - Foto EPA
Era baru Libya bermula selepas pemerintahan Muammar Gaddafi

TRIPOLI: Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya kelmarin menyerahkan kuasa kepada dewan perhimpunan baru, langkah simbolik menandakan peralihan pemerintahan secara aman berikutan berakhirnya pemerintahan Muammar Gaddafi selama 40 tahun.
“Saya menyerahkan mandat mengikut Perlembagaan kepada Kongres Awam Kebangsaan yang mulai sekarang adalah wakil sah rakyat Libya,” kata pemimpin NTC, Mustafa Abdel Jalil.


Pemimpin sementara Libya itu menyerahkan tampuk pemerintahan kepada anggota tertua dewan perundangan 200 kerusi itu yang dilantik pada 7 Julai lalu dakam satu upacara yang diadakan lewat kelmarin kerana Ramadan.

200 anggota angkat sumpah

Beberapa minit terdahulu, 200 anggota kongres mengangkat sumpah di Mahkamah Agung Libya.

“NTC tidak lagi wujud. Ia sudah dibubarkan,” kata anggota NTC, Othman Ben Sassi. Abdel Jalil mengalu-alukan apa yang dikatakan penyerahan kuasa pertama dalam sejarah Libya sebagai saat bersejarah kepada rakyat negara itu.

Pada masa sama, beliau mengakui berlakunya kesilapan yang dibuat ketika tempoh peralihan luar biasa itu selain daripada isu keselamatan serta pelucutan senjata belum dapat diselesaikan mengikut jadual.

Krisis pelarian

Beliau memberitahu, NTC juga gagal mencari penyelesaian kepada krisis pelarian, yang disifatkannya tragedi sebenar.

“Kami gagal menjamin keselamatan seperti yang diharapkan dan seperti juga diharapkan rakyat Libya,” katanya.

Abdel Jalil turut mengumumkan, beliau akan bersara dan meletak jawatan sebagai ketua NTC dan panel hakim negara berkenaan yang dianggotainya sejak pemerintahan Gaddafi hingga bekas pemimpin itu dibunuh Oktober lalu.

Bilik persidangan di hotel mewah di Tripoli dijadikan tempat sementara dewan perhimpunan itu, yang dijadualkan memulakan tugas seminggu dari sekarang, menurut agensi berita rasmi LANA.

Sebuah bilik lagi di hotel itu bertindak sebagai ibu pejabat Kongres Awam Kebangsaan.

Pihak berkuasa mengawal ketat upacara selama 40 minit itu kerana keganasan berterusan di Benghazi dan di ibu kota, yang menyaksikan sebuah kereta meletup dalam kejadian tembak menembak Sabtu lalu.

Kongres memutuskan untuk melantik presiden semalam sementara menantikan pemakaian undang-undang untuk mengundi. Perhimpunan akan kembali bersidang pada jam 2 petang waktu tempatan, kata anggota kongres, Mohamed Al-Megarief, penentang Gaddafi. – AFP