Paris: Juara tujuh kali Rafael Nadal mungkin berdepan pilihan utama Novak Djokovic pada aksi separuh akhir Terbuka Perancis, setahun selepas keduanya bertembung untuk menentukan kejuaraan.

Undian untuk kejohanan Grand Slam permukaan tanah liat yang diadakan kelmarin meletakkan Nadal dan Djokovic dalam kumpulan sama, manakala Roger Federer dan David Ferrer mungkin bakal bertemu dalam separuh akhir kumpulan berikutnya.
Laluan Djokovic sukar

Federer, pemilik 17 kejuaraan major termasuk Terbuka Perancis 2009, akan memulakan saingan pusingan pertama bertemu pemain dari pusingan kelayakan - dan jika menang dia akan bertemu seorang lagi pemain dari pusingan kelayakan pada pusingan kedua.

Laluan Djokovic lebih sukar dengan lawan pertama juara Terbuka Australia itu ialah David Goffin, pemain 22 tahun dari Belgium yang pernah mencuri satu set dari Federer di pusingan keempat Terbuka Perancis tahun lalu.

Belum pernah ada pemain yang menjulang trofi Roland Garros sekerap Nadal, yang mengatasi rekod juara enam kali Bjorn Borg selepas menewaskan Djokovic dalam aksi final tahun lalu untuk rekod 52-1 dalam kejohanan ini.

Lapan final
Tahun ini juga menyaksikan Nadal mara ke final semua lapan kejohanan disertainya, tetapi disebabkan kecederaan tujuh bulan dialaminya, ranking pemain Sepanyol itu tercicir ke tangga keempat dan Terbuka Perancis tidak meletakkannya sebagai pilihan utama.

Jika kejohanan yang bermula hari ini meletakkan Nadal sebagai pilihan kedua dan Djokovic pilihan utama, keduanya berpeluang bertemu di final, bagaimanapun ulangan perlawanan Nadal-Djokovic tidak akan berlaku tahun ini. - AP