KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu arkitek gagasan 1Malaysia, adalah pemimpin yang boleh membawa negara ini ke arah masa depan yang lebih baik, kata Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok.

Oleh itu, beliau, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, mengajak rakyat memberikan mandat yang besar kepada Najib pada pilihan raya umum akan datang, sekali gus memastikan kesinambungan agenda pembangunan negara.
"Selama bekerja dengan tiga Perdana Menteri, saya lihat Najib, sebagai Perdana Menteri, sentiasa inginkan pembaharuan, dan Najib adalah pemimpin yang dapat membawa kita ke arah yang lebih baik," katanya.

Dompok berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kem kepimpinan dan melukis serta mewarna logo 1Malaysia di Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu, dekat sini hari ini.

Antara pembaharuan yang dilakukan Najib ialah pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, pindaan terhadap Akta Polis, rayuan terhadap Akta Buang Daerah 1959, dan Akta Kediaman Terhad 1933, pemansuhan tiga Deklarasi Darurat, dan pembentangan Rang undang-undang Ikatan Relawan Malaysia (RELA) 2012 yang menghadkan kuasa mereka terhadap penggunaan senjata api dan kuasa untuk menahan.

Dompok turut menghargai inisiatif guru, lembaga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa-Guru (PIBG) KK High School yang melukis 15,000 logo 1Malaysia yang diharap mendapat pengiktirafan dalam The Malaysian Book of Records.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau menyambut baik jaminan yang diberikan Timbalan Perdana Menteri selaku Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kebajikan sekolah-sekolah mubaligh di negara ini tidak akan diabaikan dan dikekalkan dalam sistem pendidikan nasional.
Muhyiddin dipetik sebagai berkata di Kuching baru-baru ini bahawa soal sekolah mubaligh bukan tidak disentuh dalam pelan tersebut tetapi sekolah-sekolah berkenaan menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan nasional sejak dahulu hingga sekarang.

Mengenai permohonan sekolah-sekolah mubaligh agar diberikan 'bantuan khas kewangan' daripada kerajaan, Dompok berkata dalam pertemuannya dengan Muhyiddin bersama sekumpulan wakil sekolah mubaligh baru-baru ini, mereka dimaklumkan bahawa isu itu akan diambil perhatian, dan kini dalam pertimbangan Kementerian Pelajaran. - BERNAMA