"Pagi tadi, saya terima berita menggembirakan dari temasya Sukan Olimpik. Olahragawati negara, Pandelela Rinong anak Pamg berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara terjun platform 10 meter wanita.
Sehingga jam 1 tengah hari ini, lebih 12,000 rakan Facebook Najib menyukai (like) entri tersebut dan mengucapkan tahniah kepada penerjun kelahiran Sarawak itu di atas kejayaan beliau mengharumkan nama negara.
Dalam entri facebook itu, Najib juga yakin Pandelela akan terus menunjukkan peningkatan prestasi di tahun-tahun akan datang.
"Dalam usia muda beliau, saya yakin Pandelela akan terus menunjukkan peningkatan prestasi di tahun-tahun akan datang," katanya.
Dalam tweetnya pula, Najib memuji persembahan Pandelela.
"Great performance by Pandelela. First Malaysian woman to win an Olympic Medal. Syabas dan tahniah!".
Selepas bermula agak hambar pada terjunan pertama, Pandelela bangkit semula dalam empat lagi percubaan untuk mengumpul 359.20 mata, di belakang juara bertahan Chen Ruolin dari China (422.30 mata) dan pemenang pingat perak, Brittany Broben dari Australia yang mengumpul 366.50 mata.
Ia adalah pingat kedua negara buat Malaysia selepas jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menyumbang pingat perak dalam acara perseorangan lelaki, Ahad lalu.
Kejayaan Pandelela itu juga, sehingga kini, menyamai pencapaian kontinjen negara dalam edisi 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat dengan membawa pulang sebutir pingat perak dan satu gangsa.
Pencapaian Pandelela itu juga memecah dominasi sukan badminton yang sebelum ini menyumbangkan dua pingat perak dan dua gangsa, sejak Malaysia pertama kali menyertai temasya sukan terbesar dunia, bermula di Melbourne pada 1956.
Pada Sukan Olimpik Seoul 1988, atlit taekwondo wanita, M Vasugi pernah menerima pingat gangsa, namun pada ketika itu taekwondo adalah sukan demonstrasi, maka pungutan pingatnya tidak termasuk dalam senarai pungutan pingat rasmi Olimpik.
- BERNAMA



