Neymar ke Barcelona diiringi tangisan REAKSI sedih Neymar (kanan) sebelum perlawanan bermula menentang Flamengo di Sao Paulo, awal pagi tadi. - Foto AFP
SAO PAULO: Penyerang sensasi Brazil, Neymar gagal menahan air matanya daripada mengalir pada perlawanan terakhirnya bersama Santos, awal pagi tadi sebelum berpindah ke Barcelona.

Neymar menangis sebaik lagu kebangsaan Brazil berkumandang sebelum perlawanan bermula menentang Flamengo, iaitu perlawanan pusingan pertama Liga Brazil.
“Ia sangat menyedihkan," kata Neymar yang diberi sambutan perpisahan oleh rakan sepasukannya.

Neymar mengumumkan beraksi untuk Barcelona kelmarin, sehari selepas Santos menerima tawaran daripada dua kelab dari Sepanyol iaitu Barcelona dan Real Madrid.

Namun Santos mengumumkan terpulang kepada Neymar yang berusia 21 tahun untuk membuat pilihan.

Neymar akan mengikat kontrak bersama Barcelona selama lima tahun hari ini dan menjadi pemain terbaru dalam kumpulan pemain hebat dunia termasuk
Lionel Messi, Xavi Hernandez dan Andres Iniesta. - AFP