Seremban: Kadar nikotin, tar dan karbon monoksida dalam rokok yang dijual di negara ini akan dikurangkan secara berperingkat mulai Jun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pengurangan ketiga-tiga elemen itu dalam rokok ke kadar akhir yang disasarkan, dijangka mengambil masa tiga tahun.
“Kadar nikotin, tar dan karbon monoksida dalam rokok dijual di negara ini sangat tinggi. Kita mahu mengurangkannya secara berperingkat kerana pengurangan mendadak akan mencetuskan masalah lain, termasuk perokok menghisap lebih banyak rokok.


“Kita akan membuat pengumuman mengenai kadar pengurangan secara terperinci Mei ini,” katanya selepas melancarkan program Magnum Cares 2013 di Pusat Haemodialisis Mawar di sini, semalam.

Sebelum ini, Tiong Lai berkata, nikotin 1.5 miligram (mg) bagi setiap rokok ketika ini dikurangkan kepada 1.25mg September tahun ini, sebelum mencapai sasaran akhir 1mg September tahun depan.


Tar dikurang kepada 15gm

Kadar tar dikurangkan daripada 20 mg kepada 15mg dan 10 mg, manakala karbon monoksida yang tidak didedahkan ketika ini kepada 15mg dan 10mg bagi tempoh sama.
Sementara itu, Tiong Lai berkata, peningkatan kes penyakit kegagalan fungsi buah pinggang di negara ini sangat serius, iaitu 7,837 kes pada 2001 kepada 22,932 pada 2010.

“Peningkatan ini sangat menakutkan dan membimbangkan kerana dijangka berterusan.
“Kita dapati cara hidup dan pemakanan rakyat Malaysia berubah mendadak, berbanding 10 tahun lalu menyebabkan mereka mudah mendapat penyakit kencing manis dan darah tinggi yang menjadi punca utama kegagalan fungsi buah pinggang.

“Kementerian Kesihatan harap rakyat amalkan pemakanan seimbang dan meningkatkan aktiviti fizikal, terutama senaman untuk mencegah penyakit itu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM216.491 juta subsidi rawatan haemodialisis kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak 2001 hingga tahun lalu.