Laman Utama » Sarawak
'Nilai manifesto pembangkang'
l Laporan Kadir Dikoh, Naim Tahir, Misiah Taib, Hassan Omar, Hardi Effendi Yaacob, Mohd Azis Ngah, Nor Affizar Ibrahim, Matzidi Dris, Azrina Ahzan, Kandau Sidi, Roji Abdullah, M Hifzuddin Ikhsan, S Anand Kumar, Haspaizi Mohd Zain, Zanariah Abd Mutalib dan Syed Azwan Syed Ali l Jurufoto: Khairul Ghazali, Ghazali Bujang, Mohd Kamil Rahim, Radzi Bujang, Rosdan Wahid, Azahan Rosli, Shahrizal Mohd Nor, Ikhwan Munir, Effendy Rashid, Apendi Mohamad, Zain Ahmed, Mohd Fadli Hamzah, Nadim Bokhari dan Chan Wai Yew
bhnews@bharian.com.my
2011/04/10
Janji bela kepentingan rakyat sekadar omong kosong: Perdana Menteri
PEKAN: Rakyat Sarawak perlu menilai dan memahami dengan teliti manifesto pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10 yang bertemakan Ketuanan Rakyat kerana ia hanya satu tawaran janji kosong untuk memancing pengundi dan bukannya jaminan yang boleh membawa pembangunan mapan dan manfaat kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia berbeza dengan janji dalam manifesto Barisan Nasional (BN) bertemakan ‘Jaminkan Masa Depan Anda Dengan BN’ yang menggariskan sembilan teras utama sebagai jaminan kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup golongan miskin dan kurang bernasib baik serta memastikan mutu jalan raya, bekalan air dan elektrik, khidmat kesihatan dan perumahan sentiasa dipertingkatkan.
Malah, manifesto pembangkang itu dibuat semata-mata untuk menghadapi pilihan raya negeri itu pada 16 April ini.
Najib berkata, manifesto pembangkang itu adalah satu janji dan ia bukan jaminan yang boleh memacu lebih banyak pembangunan seterusnya menjadikan Sarawak lebih maju.
“Tetapi manifesto BN adalah usaha yang sedang berjalan dan buktinya sejak kita lancarkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), dengan memberi keutamaan dari segi pembangunan prasarana, banyak projek sudah dilakukan di Sarawak.
“Malah, dalam tempoh dua tahun ini hingga 2012, sasaran pencapaiannya mungkin terbesar dalam sejarah Malaysia dari segi pembangunan prasarana membabitkan kemudahan air, api dan jalan serta membantu baik pulih rumah yang rosak,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kompleks Pemasaran Setempat (CMC), Taman Industri Automotif Pekan, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata, jelas sekali bahawa janji dalam manifesto BN bukan dibuat untuk pilihan raya tetapi sebenarnya ia sudah berjalan dan dilaksanakan sejak NKRA dilancarkan.
“Pembangkang sebaliknya hanya tahu jual janji dan bukan jaminan kepada pengundi,” kata Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan.
Kelmarin, akhbar melaporkan penganalisis politik dipetik sebagai berkata, impian pembangkang itu dalam manifestonya diibaratkan ‘omong kosong’ kerana mood semasa menunjukkan rakyat Sarawak masih yakin kepada BN untuk terus memacu pembangunan negeri ini.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Jeniri Amir, berkata kajian yang dilakukannya mendapati BN akan terus membentuk kerajaan negeri berdasarkan perubahan dilakukan dengan menampilkan calon muka baru.
“Peluang pembangkang amat tipis. Walaupun mereka dijangka memenangi kerusi di kawasan bandar, ia tidak bermakna mereka berupaya membentuk kerajaan kerana pengundi masih menganggap BN mampu menjamin kehidupan rakyat,” katanya.