Olimpik 2012: Penembak China raih emas pertama Olimpik

Olimpik 2012: Penembak China raih emas pertama Olimpik

2012/07/29

London: Penembak wanita China, Yi Siling, membidik pingat emas pertama pada temasya Olimpik apabila memenangi acara 10m Air Rifle di lapang sasar Royal Military Barracks, semalam.

Penembak nombor satu dunia berusia 23 tahun itu berjaya mengekalkan status sebagai pilihan utama dengan mencatatkan 502.9 mata, sekali gus mengetepikan pencabar terdekat Sylwia Bogacka dari Poland yang mengumpul 502.2 mata.

Pingat gangsa menjadi milik seorang lagi penembak China, Yu Dan, dengan catatan 501.5 mata.

"Saya amat teruja dan gembira...Saya menceburi sukan ini sejak berusia 13 tahun lagi," kata Yi, selepas menerima pingat emas daripada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge.

Wakil tunggal Malaysia, Nur Suryani Mohd Taibi, hanya mampu menduduki tangga ke-34 dengan catatan 392 mata, sekali gus gagal mara ke pusingan akhir.