PEMANTAU diberi amaran

PEMANTAU diberi amaran

Oleh Norfatimah Ahmad
2013/01/10

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi peringatan kepada Pemantau Pilihan Raya Rakyat (PEMANTAU) yang bercadang merekrut 10,000 sukarelawan supaya tidak mengganggu proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Sebagai pihak bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya, SPR tidak mengiktiraf PEMANTAU yang dibentuk tiga pertubuhan.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata pihaknya tidak akan membenarkan atau mengeluarkan kelulusan untuk sukarelawan PEMANTAU memasuki kawasan penamaan calon atau pusat mengundi.

Beliau berkata, SPR juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang ingkar mengikut Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Kita harap semua terbabit dengan PEMANTAU faham dan hormati undang-undang pilihan raya, kawal perasaan dan berdisiplin, bukan menjadi pencetus kepada masalah.

Kita pun tidak tahu apa sebenarnya fungsi kumpulan ini, cuma diharap mereka tidak mengganggu tugas pegawai SPR dan petugas sepanjang proses pilihan raya, katanya, semalam.

Kelmarin, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (Pusat Komas) membentuk PEMANTAU untuk memantau PRU-13, termasuk semasa kempen, hari mengundi dan media.

Pengerusi BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan, berkata PEMANTAU juga akan memberi tumpuan kepada kerusi panas, selain kawasan dengan bilangan pengundi baru yang tinggi, manakala pemantauan media akan dibuat dengan kerjasama Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Katanya, 10,000 sukarelawan PEMANTAU bukan ahli mana-mana parti politik untuk memelihara sifat tidak partisan badan berkenaan.

Wan Ahmad berkata, tiga pertubuhan yang membentuk PEMANTAU wajar memikul tanggungjawab jika ada kalangan 10,000 sukarelawannya terbabit dengan sebarang insiden.

Yang pasti mereka seperti orang awam lain yang pergerakannya terhad di kawasan berlangsungnya proses pilihan raya, katanya.

Mengenai keputusan Transparency International Malaysia (TI-M) menolak jemputan SPR menjadi pemerhati pilihan raya, Wan Ahmad berkata, pihaknya membuat ketetapan untuk tidak melantik pihak lain sebagai pengganti.