PNS ada dana RM5j bantu francaisi

Pengarah Urusannya, Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin, berkata dana itu sebahagian daripada peruntukan RM8 juta yang disediakan kerajaan di bawah Skim Pembiayaan Kecil Francais (SPKF) yang diperkenalkan pada Februari tahun lalu.
Katanya, dana berkenaan antara sokongan yang diberikan pihaknya bagi membantu lebih ramai usahawan kecil menceburi bidang francais untuk menjalankan perniagaan lebih sistematik di samping menjana pendapatan tambahan.
"Dana SPKF ini bertujuan memberikan bantuan kewangan mikro kepada francaisi tempatan yang berpendapatan kecil dan sederhana dengan pembiayaan maksimum sehingga RM50,000.
"Setakat ini, PNS sudah meluluskan pembiayaan berjumlah RM3.2 juta kepada 144 francaisi daripada 256 permohonan yang diterima dalam pelbagai bi-
dang perniagaan," katanya kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Diberi mandat
PNS, agensi kerajaan yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan industri francais itu turut bertanggungjawab membantu francaisor dan francaisi tempatan mengembangkan perniagaan ke luar negara.
Beliau berkata, sektor perniagaan yang banyak memohon bagi skim pembiayaan itu adalah makanan, pakaian dan aksesori wanita, servis dan pembaikan serta produk berasaskan kesihatan.
Katanya, PNS menawarkan margin pembiayaan sehingga 90 peratus kepada francaisi yang meliputi kos insurans nyawa, yuran guaman dan kos berkaitan perniagaan dengan saiz pembiayaan dari RM5,000 hingga maksimum RM50,000.
PNS menggalakkan syarikat francais tempatan yang mempunyai perniagaan yang kukuh menawarkan skim perniagaan mikro kepada usahawan baru bagi berkongsi pendapatan. Selain mengembangkan jenama perniagaan, langkah itu juga dilihat mampu memantapkan industri francais negara, katanya.
Yakin jumlah meningkat
Syed Kamarulzaman, berkata pada masa ini sebanyak 52 syarikat francais menawarkan skim perniagaan mikro kepada francaisi dengan pakej perniagaan tidak melebihi RM50,000.
Antaranya ialah Takzim Textile; Belisinnie Fast Food; Nelsons Franchise (M) Sdn Bhd; Dnavechee; Metro Driving Academy Sdn Bhd; Hobby Auto & Cushion Supplies Sdn Bhd dan Dina Collection dan beliau yakin jumlah itu meningkat dari tahun ke tahun.
Dana SPKF katanya mempunyai saiz pembiayaan dari RM5,000 hingga RM50,000 dengan tempoh pembiayaan maksimum selama lima tahun atau me-
ngikut tempoh perjanjian francais.