Shah Alam: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) merancang menubuhkan Pusat Mediasi Islam untuk menyelesaikan kes pertikaian membabitkan orang Islam secara lebih efektif, cepat dan murah.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata pusat itu dikendalikan swasta diharap dapat menyelesaikan pertikaian berhubung kes syariah dan perbankan Islam selain menjimatkan kos pihak-pihak yang bertikai.
Lebif profesional


Kita sudah pun mempunyai pegawai sulh (perantara kerajaan) di Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan pertikaian orang Islam dengan lebih profesional dan tersusun tetapi tidak mempunyai perantara swasta untuk berbuat demikian.

Pegawai sulh pula terikat dengan peraturan seperti tempat dan waktu kerja dan ada yang kurang berpengalaman serta tidak diakreditasi oleh badan profesional.

Justeru, penubuhan Pusat Mediasi Islam ini dapat melengkapi tugasan pegawai sulh dalam menangani segala pertikaian, katanya.

Zainul Rijal berkata, melalui pusat mediasi itu, penyelesaian berhubung sesuatu pertikaian dapat dicapai atas dasar keperluan sebenar pihak bertikai di atas situasi menang-menang iaitu maksudnya tiada pihak yang kalah.
Jika penyelesaian dicapai secara sepakat melalui mediasi, tidak akan ada orang mempertikaikan keputusan yang dibuat pihak bertikai secara sukarela, katanya mengesahkan sebuah universiti berminat bekerjasama dengannya menubuhkan pusat itu.

Tanpa perbicaraan

Mediasi ialah proses bagi menyelesaikan suatu pertikaian tanpa melalui proses perbicaraan yang panjang di mahkamah.

Ia antara cabang Alternative Disputes Resolution (ADR) iaitu kaedah penyelesaian tanpa merujuk pertikaian ke mahkamah yang kini menjadi trend penyelesaian pertikaian.

60 anggota bertauliah

Sementara itu, Zainul berkata lebih 60 anggota persatuan itu adalah mediator bertauliah, manakala 24 anggota lagi mendapat sijil dalam Mediasi Lanjutan.

BERNAMA