Mutakhir

PRU13: Ahli akar umbi PAS Pulau Pinang desak pertahankan kerusi DUN Sungai Acheh

BUKIT MERTAJAM: Anhli akar umbi PAS Pulau Pinang mendesak pucuk pimpinan parti itu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh dan meminta Ketua Dewan Pemudanya Mohd Yusni Md Piah tidak menarik diri daripada bertanding.

Bekas Ketua Pemuda PAS negeri, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, kepimpinan tertinggi PAS perlu bertegas dalam mempertahankan kerusi itu dan tidak menjadikan parti itu mangsa kepada sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"PAS hanya bertanding di enam kerusi DUN dan dua Parlimen di Pulau Pinang sedangkan PKR 16 kerusi DUN dan empat Parlimen.


"Memang inilah sikap tamak haloba yang ada pada PKR dan selalunya yang jadi
mangsa PAS negeri Pulau Pinang, calon-calon PAS Pulau Pinang. Bayangkan dulu PAS ada 16 kerusi sekarang hanya tinggal enam dan masih nak diambil daripada PAS," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai 'CheguBard' bahawa PKR tetap bertanding di kerusi itu dan calon PAS telah diminta menarik diri.

DUN Sungai Acheh adalah satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal yang dianggap sebagai kerusi tradisi PAS, namun beralih tangan kepada PKR pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Pada PRU12, penyandang kerusi itu Datuk Mahmud Zakaria dari BN mengalahkan calon PKR, Dr Azhar Ahamad dengan majoriti 250 undi.

Mohamed Hafiz berkata, keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi pakatan itu bukanlah situasi 'menang-menang' kepada PAS sebaliknya ia menggambarkan seolah-olah PAS 'dibuli' oleh PKR.

"Sebelum ini apa juga yang dibuat oleh PKR terhadap PAS, Pemuda PAS tetap meneruskan gerak kerja terutama pada musim pilihan raya, tetapi kali ini ianya akan berlaku sebaliknya...kerana kalaulah PKR dan pemimpin PAS pusat mengatakan ini 'win-win situation' (situasi menang-menang) sebenarnya ahli akar umbi menganggap ia 'win-lose situation' (situasi menang-kalah)," katanya.

Ditanya sama ada PAS perlu keluar daripada pakatan pembangkang, Mohamed Hafiz berkata: "Itu yang kita minta (PAS keluar daripada pakatan)...hentikan berpakat dan tidak sepakat."

Sementara itu, Mohd Yusni berkata, beliau terpaksa akur dengan keputusan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memberi laluan kepada PKR sebagai rakan dalam pakatan pembangkang.

Katanya, beliau tidak akan turun berkempen untuk CheguBard dan akan membantu calon tunggal Pemuda PAS negeri Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas.

"Fokus saya sekarang adalah turun berkempen bagi memastikan kemenangan calon tunggal Pemuda Pulau Pinang Ustaz Afnan di Kepala Batas," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas. - BERNAMA

CARIAN

BH LIVE

Twitter

Facebook