LIMBANG: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang bekerja keras BAGI memastikan kerusi Parlimen Limbang, yang merupakan kubu kuat BN, mengekalkan kerusi itu dengan lebih 5,000 majoriti undi.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bukit Kota, Sufian Mohat berkata, angka itu dijangka bertambah berikutan jentera pilihan raya BN akan keluar berkempen habis-habisan sehingga menjelang hari pengundian Ahad ini.
"Kami tidak menjangkakan sebarang masalah bagi pengundi di Limbang dan Brunei, namun kami berharap pengundi yang tinggal di Sabah dan Semenanjung, dapat pulang untuk mengundi Ahad ini," katanya kepada Bernama.

Sufian berkata, pengundi yang bekerja di Brunei dan Sabah boleh memandu terus ke Limbang dan berada di pusat pengundian pada Ahad.

Beliau berkata, jentera pilihan raya BN mengenal pasti lebih 1,000 pengundi yang bekerja di luar Limbang, layak mengundi.

"Kami juga menyasarkan lebih 75 peratus pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing ...jentera pilihan raya BN akan menyediakan pengangkutan bagi mereka yang mahu ke pusat-pusat pengundian," katanya.

Limbang mempunyai 24,335 pengundi, dengan 10,929 (44.91 peratus) pengundi Bumiputera Sarawak, 6,609 (27.17) Melayu, Cina 4,701 (19.32) dan selebihnya Bumiputera Sabah, India, Orang Asli dan lain-lain.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, penyandang Limbang Hasbi Habibollah (BN) menang dengan 676 majoriti undi dan bagi PRU13 ini, beliau berdepan dengan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian.

Di Lawas, sejam perjalanan dengan kereta dari Limbang, penyandang kerusi Parlimen Lawas daripada BN Datuk Henry Sum Agong menyuarakan keyakinannya peratusan keluar mengundi lebih tinggi berbanding PRU 2008.

"Saya yakin jumlah yang keluar mengundi lebih tinggi memandangkan pengundi kini lebih menyedari peranan masing-masing, selain terdapat banyak isu di kawasan itu yang dapat mempengaruhi paten pengundian di Lawas," katanya.

Beliau berkata, tidak ada masalah pada Ahad, namun di beberapa kawasan di situ mungkin menyaksikan bilangan yang keluar mengundi kecil berikutan faktor geografi kerana mereka yang tinggal di kawasan pergunungan di Ba'Kelalan menghadapi masalah pengangkutan untuk keluar ke pusat pengundian.

Pada PRU 2008, Sum memenangi kerusi Lawas dengan 7,792 undi, menewaskan Japar Suyut daripada PKR.

Pada PRU 2008, Lawas dilaporkan sebagai antara kerusi parlimen yang mencatat bilangan pengundi berdaftar terendah keluar mengundi.

Baram mencatat bilangan pengundi yang paling rendah keluar mengundi iaitu 49.65 peratus daripada 24,425 pengundi, diikuti Sibuti (58.84 peratus) daripada 22,143 dan Lawas (59.44 peratus) daripada 15,717 pengundi.

Bagi PRU13, Lawas mempunyai 18,883 pengundi berdaftar dengan Bumiputera Sarawak 10,102 (53.50 peratus), Melayu 6,610 (33.01), Cina 1,806 (9.56) dan selebihnya terdiri daripada Bumiputera Sabah, India, Orang Asli dan lain-lain. - BERNAMA