KUALA SELANGOR: Masalah pengangkutan awam di kawasan Kuala Selangor akan diselesaikan sekiranya Barisan Nasional (BN) mendapat mandat daripada rakyat Selangor untuk mentadbir negeri ini pada pilihan raya umum 5 Mei ini.

Itu antara aku janji tambahan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan kira-kira 3,000 warga Ijok yang menyambut kedatangan beliau di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bestari Jaya, di sini hari ini.
"Kita akan selesaikan masalah pengangkutan awam antara Bestari Jaya ke Kuala Selangor dan Bestari Jaya ke Tanjong Karang," katanya disambut tepukan gemuruh daripada rakyat yang hadir.


Turut hadir Penyelaras BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok, K. Parthiban dan calon BN Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim.

Bagi SJKT Bestari Jaya, Najib turut mengumumkan bantuan dana untuk pembinaan dewan bagi sekolah tersebut. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlahnya. - BERNAMA