TEMERLOH: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah akan memberi tumpuan kepada pengundi muda di peringkat akar umbi dalam memastikan kerusi itu kekal milik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.

Katanya daripada 66,105 pengundi di kawasan itu, kira-kira 30 peratus daripadanya adalah pengundi muda yang akan mengundi buat kali pertama.
"Saya akan turun padang mendekati mereka, sekali gus mengatasi masalah golongan berkenaan.


"Saya yakin golongan muda akan memberikan sokongan kepada BN kerana sudah terbukti kejayaan dan pembaharuan yang dilakukan pemimpin tertinggi kepada golongan muda," katanya kepada pemberita selepas melancarkan mini manifestonya di Mentakab dekat sini, hari ini.

Saifuddin berkata, beliau sangat memahami kehendak orang muda kerana beliau pernah menjadi Pengerusi Majlis Belia Malaysia suatu masa dulu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008 lalu, Saifuddin mengalahkan Ahmad Nizam Hamid dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 2,441 undi.

Pada PRU kali ini, beliau akan menentang Ketua Pemuda PAS, Nasaruddin Hassan Tantawin dan berharap pengundi di Temerloh terus memberikan sokongan dan undi mereka kepada BN.
"Saya akan menemui pengundi muda dan mendapatkan sokongan mereka, terserah kepada pengundi untuk menentukannya tetapi saya yakin BN masih boleh mempertahankan kerusi ini," katanya. - BERNAMA