KUALA LUMPUR: Orang ramai perlu mendapatkan keputusan muktamad pengundian pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad ini daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) saja dan tidak bersandarkan maklumat tidak sahih dikeluarkan pihak lain.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sekali gus mengingatkan ejen parti politik yang berada di pusat pengiraan undi, supaya tidak menyebarkan maklumat berhubung keputusan PRU13 sebelum ia diumumkan SPR, bagi mengelak kekeliruan.
"Langkah menyebarkan maklumat sedemikian bukan saja boleh mengganggu perjalanan pilihan raya, malah akan menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap maklumat berkenaan.

"Maklumat keputusan pilihan raya hanya akan diumumkan oleh SPR. Tunggu keputusan muktamad daripada SPR," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Kem Wardieburn, Jalan Genting Kelang dan Pusat Latihan Polis, Jalan Semarak di sini hari ini.

Tegas menolak tanggapan pihak tertentu kononnya SPR lebih berpihak kepada kerajaan, Abdul Aziz berkata kalah menang calon atau parti hanya boleh ditentukan oleh pengundi sendiri dan bukannya SPR.

Beliau berkata, SPR ialah sebuah badan bebas, dan pilihan rakyat tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak.

"Jika SPR mahu memastikan BN menang, mengapa mereka bekerja keras. Tengok Perdana Menteri, beliau bekerja keras, berapa jam sehari. Saya tak tahu. Jika mereka tahu akan menang mudah, mengapa perlu kerja keras.
"Di Malaysia, sesiapa shaja boleh menang, calon itu, bukan sebab SPR tolong atau kalau dia kalah, SPR tidak tolong.

"SPR ialah badan bebas, yang menentukan menang atau kalah, raja (pada pengundian) ialah pengundi. Di Malaysia, pengundi adalah raja, tiada siapa boleh mencabar mereka".
Beliau mengulas dakwaan bahawa SPR memihak kepada kerajaan Barisan Nasional (BN). - BERNAMA