KUALA LUMPUR: Umno memecat 58 ahlinya serta-merta kerana bertanding sebagai calon Bebas di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Pengerusi Jawatankuasa Khas Lembaga Disipilin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail berkata keputusan pemecatan itu diambil selaras dengan fasal 20.10 Perlembagaan Umno yang menyatakan mana-mana anggota Umno yang bertanding sebagai calon bebas akan dipecat daripada parti dan tidak akan diterima keahliannya selama-lamanya.
"Surat-surat pemecatan keahlian telah dihantar kepada mereka yang terlibat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamalia Ibrahim adalah antara yang dipecat kerana bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar.

Turut dipecat ialah bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga bekas Ketua Bahagian Tasek Gelugor Datuk Seri Mohd Shariff Omar, yang bertanding di Parlimen Tasek Gelugor dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Sepang Datuk Suhaimi Mohd Ghazali yang bertanding kerusi Parlimen Sepang.

Datu Badruddin Tun Mustapha juga dipecat kerana bertanding di Parlimen Semporna dan DUN Senallang.

Ahmad Rithaudeen berkata selain itu, tiga anggota Umno akan dipanggil minggu ini bagi menjawab tunjuk sebab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadap mereka kerana menjadi pencadang, penyokong atau gagal menyerahkan borang calon pada hari penaman calon Sabtu lalu.
Mereka akan dipanggil mengikut Fasal 20.8 Pelembagaan Umno dibaca bersama perkara 3 Tataetika Ahli Umno (Gagal mengikut perintah-perintah parti atau gagal menjalankan dasar-dasar parti).

"Lembaga Disiplin Umno sekali lagi mengingatkan anggota Umno bahawa lembaga disiplin telah bersiap sedia untuk bertindak ke atas mana-mana anggota Umno yang melakukan kesalahan sabotaj parti dalam waktu tempoh berkempen pilihan raya umum ke-13 ini.

"Tindakan tegas termasuk pecat dan gantung keahlian akan diambil setelah bukti-bukti dan laporan daripada pemantau yang dilantik diterima dan disiasat secara terperinci," katanya.

Ahmad Rithaudeen juga meminta semua anggota parti supaya bersatu-padu dan menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN) yang dinamakan bertanding oleh pucuk pimpinan parti.

"Jauhi perbuatan sabotaj atau perbuatan yang boleh melemahkan parti dan BN," katanya. - BERNAMA