PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata penubuhan Maktab Rendah Sains Mara Tun Abdul Razak (MRSM TAR) di sini adalah satu lagi manifestasi keupayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menterjemah agenda kerajaan dalam bentuk yang diharapkan rakyat.

Perdana Menteri berkata, ia juga membuktikan kerajaan sentiasa komited meletakkan pendidikan sebagai asas melahirkan generasi Bumiputera yang bertaraf global, memiliki sahsiah dan ketrampilan terbaik serta semangat mencipta lebih banyak kejayaan untuk anak bangsa.
"Selain menjadi asas pembangunan minda, kewujudan MRSM TAR di Pekan ini juga adalah satu lagi mercu pembangunan bersepadu oleh kerajaan yang pasti akan dapat memanfaatkan rakyat di sekelilingnya," katanya dalam perutusan di dalam buku cenderamata majlis perasmian MRSM TAR.


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mewakili Najib merasmikan MRSM TAR dan melancarkan program Pekan English dan Sains Tuisyen (Pesat) di MRSM TAR di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada MARA kerana berjaya merealisasikan harapan kerajaan untuk terus berkhidmat kepada rakyat, sekali gus membuka pintu kepada lebih ramai lagi anak bangsa memiliki ilmu pengetahuan.

Kejayaan yang dilakar MARA pada hari ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa tonggak dan mandat oleh rakyat kepada kerajaan yang mempunyai hala tuju dan wawasan yang jelas," katanya.

Menurut Najib, sejak penubuhannya 47 tahun lalu, MARA memiliki nilai yang signifikan terhadap agenda pembangunan negara, sekali gus menjadi ejen transformasi ke arah memacu Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
"Dalam hubungan ini, dua teras utama yang menjadi tonggak peranan Mara iaitu keusahawanan dan pendidikan telah dan akan sentiasa diperkasakan melalui penghasilan idea dan inovasi baru.

"Bagi memenuhi hasrat berkenaan, negara amat memerlukan bakat dan guna tenaga yang berasaskan pengetahuan dan mempunyai semangat keusahawanan untuk mencipta lebih banyak rantaian kekayaan agar dapat dinikmati oleh segenap anak watan," kata Najib.

MRSM TAR di sini adalah MRSM kelima di Pahang dan sudah memulakan operasinya sejak 1 Mei 2010. - BERNAMA