PRU13: Nazri sifatkan Kamilia pengkhianat BN MENTERI di Jabatan Perdana Menteri yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P61 Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz (kiri) dan calon BN Parlimen P60 Taiping, Datuk Tan Lian Hoe (dua, kiri) beramah mesra dengan orang ramai pada pelancaran unit rondaan bermotosikal di sini, hari ini. - Foto Abdullah Yusof
TAIPING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menyifatkan tindakan Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim, bertanding Bebas di Parlimen Kuala Kangsar sebagai mengkhianati perjuangan Barisan Nasional (BN).

Nazri berkata, beliau menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa keahlian Kamilia di dalam UMNO gugur serta merta tanpa perlu memberi surat tunjuk sebab berikutan jelas menunjukkan dia menjadi pembangkang.
"Dia (Kamilia) bertanding melawan kita (BN), memang sepatutnya dipecat kerana menunjukkan contoh yang tidak baik sebagai pemimpin tertinggi Wanita UMNO.


"Tindakan beliau (Kamilia) bertanding Bebas tidak akan menjejaskan kemenangan kita (BN) di Parlimen Kuala Kangsar kalau dia fikir dia banyak pengaruh.

"Saya pun kenal dia (Kamilia) satu ketika dulu mencari-cari kerusi nak bertanding, dia bukannya seorang yang popular pun, saya orang Kuala Kangsar dan calon Parlimen Padang Rengas dan tahu apa yang berlaku di bawah," katanya pada sidang media diadakan sempena majlis pelancaran Komuniti Kepolisan Unit Rondaan Motosikal (URB) , di sini, hari ini.

Nazri berkata, keputusan Kamilia itu tidak memberi kesan buruk kepada BN dan hanya mempunyai kepentingan peribadi.

"Trend bertanding bebas ini hanya mempunyai kepentingan diri, dia rasa dah layak menjadi calon tetapi lupa mereka rasa layak kerana parti menyokong mereka tapi kalau dia bertanding Bebas, dia tidak akan menang, yang kuat adalah parti.
"Ahli di bawah parti menunjukkan teladan yang baik, dia yang di kepimpinan di atas pula nak buat perangai.

"Lebih baik dia (Kamilia) bertanding Bebas kerana kalau dia tidak bertanding dan duduk di dalam (BN), dia akan rosakkan kita punya undi dan bekerja secara sulit menggagalkan calon kita, ada elok dia bertanding Bebas, " katanya.

Nazri yang diminta mengulas mengenai pencadang dan penyokong ketika proses penamaan calon Kamilia berkata, pihaknya masih menyiasat individu yang terbabit dan sekiranya dikenalpasti sebagai ahli UMNO, kedua-duanya juga akan dipecat serta merta.