BUKIT MERTAJAM: Pengundi di negeri ini dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan aktiviti pertaruhan wang untuk ramalan calon yang akan menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, aktiviti seperti itu bukan sahaja akan merugikan diri sendiri malahan juga memberi kesan terhadap calon parti yang bertanding.
"Saya terkejut juga, saya dapat maklumat ini daripada akhbar tempatan berbahasa Cina, harap pengundi tidak terbabit dengan aktiviti pertaruhan seperti ini.

"Saya harap supaya pengundi dapat menggunakan kuasa mengundi mereka dalam menentukan kemenangan calon wakil rakyat," katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah berkata, perkara seperti itu memang pernah berlaku dan berharap ia dapat dihapuskan demi kesejahteraan semua pihak.

Mengulas mengenai program yang diatur jentera BN sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum (PRU), Teng berkata semuanya berjalan seperti dirancang.

"Semua jentera diingatkan supaya sentiasa berdisiplin dan mengikut peraturan sepanjang masa ketika menjalankan tugas, banyak sesi ceramah yang telah diaturkan tetapi masih ada yang belum mendapat pengesahan tempat untuk diadakan ceramah," katanya.
Beliau berkata, setakat ini hanya program konvoi bermotosikal untuk mengiringi calon ketika sesi ceramah telah dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan.

"Kita sudah minta supaya konvoi bermotosikal dibatalkan atas sebab keselamatan, ia boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai," katanya.

Mengulas mengenai peningkatan jumlah calon Bebas yang bertanding pada PRU kali ini, beliau berkata ia merupakan bukti bahawa sistem demokrasi yang menjadi amalan di negara ini diterima.

"Ia menunjukkan tahap kesedaran di kalangan masyarakat telah meningkat, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi kita tidak boleh halang seseorang itu untuk bertanding," katanya. - BERNAMA