PEKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata menerusi falsafah 1Malaysia semua rakyat pelbagai kaum di negara ini diberikan pembahagian secara adil dan saksama, inklusif dan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan.

Beliau berkata, dasar dan falsafah inilah yang menjurus kepada keadilan sosial dan sosioekonomi selama ini dalam menjamin keamanan dan kesejahteraan semua pihak.
"Menerusi dasar dan falsafah itulah yang kaya diberi peluang untuk terus maju manakala yang susah dibantu," katanya pada majlis perasmian bangunan tambahan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pekan di sini hari ini.

Mengenai pendidikan, Perdana Menteri berkata setiap individu dan komuniti diberi kebebasan untuk memilih jenis pendidikan tanpa halangan.

Katanya, hanya Malaysia selain negara China dan Hong Kong yang membenarkan jenis pendidikan sekolah Cina.

Malah, beliau berkata, SJKC turut diberi bantuan sewajarnya oleh kerajaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa majlis itu Tay Tick Long dalam ucapannya berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menunjukkan komitmen berterusan dalam membantu meningkatkan keperluan pendidikan sekolah Cina.
"Bantuan yang dihulurkan kerajaan ini juga turut dikongsi bersama-sama dengan semua kaum kerana di sekolah ini bukan saja terdapat pelajar berbangsa Cina, malah kaum Melayu dan India turut belajar di sini," katanya.

SJKC Pekan mendapat peruntukan daripada kerajaan berjumlah RM2.9 juta bagi membina bangunan tambahan tiga tingkat pada 2008 dan ia mula digunakan pada 2010.

Pada majlis itu, Najib turut menjanjikan peruntukan tambahan RM300,000 bagi membina bangunan tambahan untuk prasekolah di sekolah itu. - BERNAMA